Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSA akan ambil lebih 2,500 kakitangan; MPA tawar 600 biasiswa maritim

May 16, 2025 | 4:19 PM
Encik Muhammad Sani Salim (duduk), seorang pemandu trak besar PSA, menunjukkan cara mengendali kenderaan kontena autonomi dari pusat kawalan PSA kepada Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (tiga dari kiri) semasa lawatannya ke Terminal Pasir Panjang PSA pada 16 Mei.
Encik Muhammad Sani Salim (duduk), seorang pemandu trak besar PSA, menunjukkan cara mengendali kenderaan kontena autonomi dari pusat kawalan PSA kepada Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (tiga dari kiri) semasa lawatannya ke Terminal Pasir Panjang PSA pada 16 Mei. - Foto ST

Pengendali pelabuhan Singapura, PSA, akan mengambil lebih 2,500 kakitangan pada 2025, yang merangkumi pelbagai peranan seperti operasi pelabuhan barisan hadapan dan sains data untuk menyokong bahagian pertumbuhan dan pengembangan syarikat itu.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak bagi menawarkan sehingga 600 biasiswa dan latihan amali untuk golongan muda yang ingin menyertai industri maritim, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Bercakap kepada media selepas lawatannya ke Terminal Pasir Panjang PSA pada 16 Mei, Encik Chee berkata MPA sedang bekerja rapat dengan syarikat dan institusi pengajian tinggi dalam mengenal pasti kemahiran dan latihan baru yang diperlukan untuk pelajar.

“MPA tidak akan bergerak perlahan. Mereka akan bekerjasama dengan rakan kongsi tiga pihak untuk menawarkan sehingga 600 biasiswa dan latihan amali untuk golongan muda yang ingin menyertai industri maritim.

“Sama ada persekitaran luar negara cerah atau tidak menentu, saya fikir ini adalah beberapa langkah yang tidak akan kami menyesal untuk lakukan bagi mengukuhkan nilai cadangan dan kesediaan kami,” kata Encik Chee.

Encik Chee berkata MPA akan terus mencari peluang baru, menarik pelaburan baru ke Singapura dan bekerjasama dengan badan-badan tertentu untuk mengembangkan operasi mereka di Singapura.

Pada 16 Mei, Encik Chee juga mengumumkan bahawa Singapura menyaksikan peningkatan 6.1 peratus dalam isi padu kontena dalam tempoh empat bulan pertama 2025, berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Antara Januari dengan April, Singapura mengendalikan sebanyak 14.18 juta kontena perkapalan meskipun negara berdepan dengan ketidaktentuan sejagat dan perubahan dalam rantaian bekalan sejagat, tambahnya.

“Kami gembira melihat maritim Singapura berjalan dengan baik. Bergantung pada bagaimana ekonomi sejagat berkembang dan bagaimana rantaian bekalan sejagat akan beralih, saya fikir kita perlu kekal lincah dan terus berhubung dengan pelanggan utama kita.

“Tidak kira bagaimana rantaian bekalan sejagat berubah, apa yang penting ialah Singapura kekal sebagai hab pelabuhan penting dan nod utama dalam rantaian bekalan sejagat,” kata Encik Chee lagi.

Beliau menambah Singapura akan terus melabur dalam inovasi baru untuk mengekalkan daya saingnya dan menjadi lebih berdaya penghasilan.

Dalam kunjungannya, Encik Chee turut diberi taklimat tentang bagaimana PSA telah memasang beberapa trak besar atau prime mover berkuasa dieselnya yang lalu menjadi kenderaan kontena autonomi yang tidak memerlukan pemandu untuk mengemudi di sekitar pelabuhan.

Daripada 1,400 trak besar berkuasa diesel yang dimiliki PSA, ia telah memasang semula 30 kenderaan sedemikian untuk menjadi kenderaan elektrik autonomi yang boleh diurus dan dipantau oleh kakitangan dari bilik kawalan.

PSA juga sedang mencuba dua kenderaan autonomi penuh baru untuk meneliti keupayaannya sebelum membuat keputusan untuk mengembangkan operasinya.

Encik Chee berkata ujian oleh PSA telah menunjukkan “hasil yang baik” dan PSA akan bekerja dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk melihat bagaimana teknologi sedemikian boleh digunakan di jalan raya juga, khususnya, untuk menghubungkan Pasir Panjang dan Tuas, serta antara Pelabuhan Tuas dengan kawasan perindustrian di sekitarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg