Keraguan terhadap keupayaan diri sendiri apabila berdepan dengan cabaran merupakan perasaan yang lumrah singgah di hati manusia.
Bagaimanapun, seorang pemimpin harus mampu menenangkan dirinya dan tangkas berfikir tentang langkah selanjutnya.
Begitulah prinsip jaya Ketua Komunikasi bagi Asia Selatan di institusi kewangan Citi, Encik Adam Abdur Rahman, 63 tahun, sepanjang 22 tahun menerajui kepimpinan dalam sektor komunikasi perbankan.
Dalam tugasannya kini, beliau adalah sebahagian pasukan pengurusan serantau yang menyelaras urusan komunikasi Citi bagi pasaran di India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Bangladesh dan Sri Lanka.
Di atas kepakarannya mengemudi amanah dalam bidang komunikasi strategik, Encik Adam disampaikan dengan Anugerah Felow Institut Perbankan dan Kewangan (IBF) sebagai pengiktirafan kepada tokoh industri yang menunjukkan kemahiran tinggi, kepimpinan dan komitmen terhadap pembangunan sektor kewangan.
Beliau merupakan antara 34 peneraju industri yang menerima anugerah dari IBF itu pada acara IBF Distinction Evening 2025 di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 9 Oktober.
Encik Adam, bapa dua anak lelaki berusia 31 dan 34 tahun, merupakan lulusan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan pengkhususan dalam Sains Politik dan Falsafah.
Beliau yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), yang kini dikenali sebagai Mediacorp, turut memiliki ijazah Sarjana Sastera dalam Analisis Konflik Antarabangsa daripada Universiti Kent di Canterbury, Britain.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Adam berkata: “Saya sering bertanya kepada diri sendiri, ‘Ke mana hala tuju saya selepas ini?’
“Selepas menimba pengalaman di Singapura dan serantau sebagai penerbit di Asia Business News (kini CNBC Asia), peluang di Citi membuka peluang dan membawa saya ke tahap baru.
“Ia sebuah syarikat global dengan lebih 90 negara. Ia memberi saya peluang bekerjasama dengan pelbagai individu dan memperluas kepimpinan saya.
“Justeru, saya mengambil keputusan berhenti daripada industri kewartawanan dan penyiaran untuk menceburi bidang ini.”
Sebelum menyertai sektor perbankan dan kewangan, Encik Adam berkhidmat selama 20 tahun dalam industri media dan pernah mengasaskan bersama dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi penerbitan dan komunikasi, The Right Angle, dan selanjutnya menjadi penyedia utama latihan media dan komunikasi strategik kepada klien sektor swasta dan awam.
Dalam industri yang sentiasa berubah dan digerakkan oleh inovasi, Encik Adam menonjol bukan kerana mengejar trend tetapi kerana berpegang teguh pada prinsip dan keyakinannya setiap yang diusahakan mampu direalisasikan.
Sepanjang lebih 20 tahun dalam sektor kewangan, prinsipnya kekal kukuh walaupun landskap industri pesat berubah.
Sejak kecil, beliau mengakui dirinya merupakan seseorang yang ingin tahu dan gemar memahami dunia di sekelilingnya.
“Rasa ingin tahu mendorong seseorang untuk belajar, memperbaiki diri dan berani mencuba peluang baru. Kejayaan itu penting, tetapi kegagalan merupakan pengajaran yang lebih besar,” katanya.
Sebagai ketua pasukan seramai 26 individu dari pelbagai negara Asia kini, Encik Adam percaya kejayaan tidak dicapai bersendirian.
“Kejayaan melahirkan kejayaan. Apabila kita berjaya, kita bawa juga orang lain bersama kita untuk terus kecapi kejayaan.
“Pasukan saya memberi pelbagai perspektif berbeza, membantu saya menghasilkan penyelesaian yang lebih baik,” ujarnya, yang juga penerima Bintang Bakti Masyarakat (BBM) dan aktif dalam kerja kemasyarakatan.
Beliau turut menekankan pentingnya tokoh teladan dalam setiap fasa kerjaya, termasuk bosnya, Pengarah Urusan merangkap Ketua Komunikasi Antarabangsa di Citi, Encik Richard Tesvich, yang berasal dari London.
“Setiap kali Encik Tesvich memberi peluang kepada saya, saya akan merebutnya dan membuktikan kemampuan saya. Justeru, saya mahu melahirkan generasi pemimpin yang tidak gentar mencuba selepas saya,” katanya lagi.
Di sebalik komitmen dalam kerjaya, Encik Adam menganggap dua anak lelakinya sebagai sumber kekuatan dan kebanggaannya.
Baginya, rahsia kejayaan ialah fokus dan ketekunan.
“Dalam kehidupan, akan ada perkara yang tidak berjalan lancar, tapi itu tidak mengapa. Jika kita memahami tujuan dan matlamat kita serta kekal fokus, kita pasti boleh mencapainya,” katanya dengan yakin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg