Dari katil rumahnya, Cik Fatin Atika Abdul Manap, 34 tahun, menelaah nota peperiksaan dalam keadaan mengharungi kehamilan berisiko tinggi.
Beliau berdepan dengan keadaan perubatan yang dikenali sebagai ‘incompetent cervix’, iaitu apabila bahagian serviksnya mula terbuka dan menipis sebelum kehamilan mencapai tempoh matang.
“Serviks boleh pecah bila-bila masa. Saya tak mampu duduk atau berdiri. Lantas, kalau nak belajar, terpaksa berada di katil sahaja,” jelasnya.
Pada 2023, beliau berusaha mengimbangi masa antara pengajian ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Maklumat dan Perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dengan tugas sebagai pakar pengurusan produk di bank DBS.
Cik Fatin diberi kekuatan untuk meneruskan pengajian sambilan itu kerana yakin dengan kuasa ilmu dan nilai tanggungjawab yang dipelajari daripada arwah bapanya, Encik Abdul Manap Abdul Kadir.
Bapanya bekerja berjam-jam lamanya sebagai pegawai keselamatan demi menyara pendidikan Cik Fatin.
Apabila bapanya meninggal dunia pada 2019 kerana komplikasi penyakit ginjal, Cik Fatin berjanji kepada dirinya sendiri beliau akan menamatkan pengajian universiti bagi menunaikan hasrat arwah bapanya.
Beliau bersyukur kerana merupakan penerima Program Tajaan Pendidikan Kumpulan DBS, di mana pengajiannya yang diikuti pada usia 27 tahun dibiaya oleh Kumpulan DBS.
DBS membangun potensi kakitangannya melalui rangka kerja ‘Triple E’, atau ‘Pendidikan, Pendedahan dan Pengalaman’.
Ia menyediakan pelbagai peluang menyeluruh untuk membantu kakitangannya belajar.
Dari segi pendidikan, ia menawarkan pelan pembelajaran berstruktur serta program pensijilan bagi melengkapkan kakitangan dengan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan peranan masing-masing.
Laluan itu merangkumi pelbagai kemahiran, daripada kecekapan digital dan data hinggalah kepada pengurusan risiko dan kelestarian.
Cik Fatin, misalnya, telah meneroka peluang menimba ilmu dan pengalaman baru dalam pelbagai tugasan, fungsi dan lokasi kerja.
Pada 2024, sebanyak 40 peratus jawatan kosong di DBS diisi dengan calon dalaman atau yang sudah sedia bertugas di bank tersebut.
Angka tersebut meningkat kepada 50 peratus jika tidak termasuk jawatan peringkat permulaan yang kebanyakannya diisi oleh lulusan baru serta peranan khusus yang memerlukan kemahiran tersendiri.
“Saya benar-benar percaya dengan kuasa ilmu. Dalam setiap fasa kehidupan, saya ingin meningkatkan diri dan menjadi lebih baik,” ujar Cik Fatin.
Pemergian bapanya yang menjadi tonggak kehidupannya meninggalkan kesan mendalam bagi Cik Fatin hingga mendorongnya membuat janji dalam diam untuk menamatkan pengajian ijazahnya walau apa jua rintangan.
“Ayah bekerja keras sebagai pegawai keselamatan untuk membiayai pelajaran saya. Saya berjanji kepada diri sendiri untuk menunaikan impian beliau bagi saya menggenggam ijazah,” katanya.
Cik Fatin turut berkongsi kenangan ketika mengambil kursus Diploma Sistem Maklumat Perniagaan di Politeknik Ngee Ann (NP).
Walaupun bapanya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dan berdepan kesempitan kewangan, beliau tetap berusaha meminjam wang dari bank untuk membelikannya sebuah komputer riba bagi kegunaan belajar.
“Kededua ibu bapa saya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran selepas sekolah menengah, jadi amat penting bagi mereka untuk memberi peluang terbaik kepada saya dan tiga adik-beradik yang lain untuk berjaya dalam pelajaran,” kata anak sulung dalam empat beradik itu.
Apabila beliau menamatkan pengajian diplomanya pada 2015, ia menjadi detik kebanggaan seisi keluarga.
Namun, meskipun ibu bapanya berharap agar beliau menyambung pelajarannya, Cik Fatin memilih untuk bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di DBS.
“Saya tidak sanggup lagi melihat ayah bekerja lebih masa sebagai pegawai keselamatan untuk menampung kami. Saya mahu mula membantu keluarga dari segi kewangan,” jelasnya.
Pada 2018, beliau membuat keputusan untuk menyambung pelajaran secara sambilan di SUSS selepas berjaya memperoleh tajaan daripada Program Tajaan Pendidikan Kumpulan DBS, yang membiayai kursus sambilan berkaitan bagi membolehkan pekerja meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.
Cabaran mengimbangi kerja dan pengajian sememangnya berat, namun ketabahan Cik Fatin benar-benar diuji pada 2023 ketika beliau hamil anak sulung yang kini berusia dua tahun.
“Ketika saya diarahkan berehat di atas katil, saya tetap menelaah nota peperiksaan. Dua bulan selepas bersalin, saya menduduki peperiksaan.
“Saya masih ingat lagi, malam sebelum satu kertas peperiksaan penting, anak saya yang baru lahir mengalami demam panas.
“Saya menjaganya sepanjang malam dan menghadiri peperiksaan keesokan paginya dalam keadaan tidak cukup tidur,” kongsi beliau.
Menurutnya, sokongan daripada pihak DBS banyak membantunya mengharungi detik sukar itu.
“Rakan sekerja memberi saya fleksibiliti untuk mengimbangi kerja, pelajaran dan amanah di rumah.
“Keluarga serta sahabat pula menaikkan semangat saya ketika saya hampir letih.
“Pengurus saya juga terus memberi kepercayaan dan peluang yang memperkukuh keyakinan diri saya.
“Kini, saya secara rasmi bergelar pemegang ijazah. Dari kerjaya pertama saya di cawangan bank, kini saya menjawat jawatan sebagai Pakar Pengurusan Produk.
“Saya amat bersyukur kepada DBS kerana memudahkan laluan saya untuk melanjutkan pelajaran,” tambahnya.
“
“Serviks boleh pecah bila-bila masa (semasa hamil). Saya tak mampu duduk atau berdiri. Lantas, kalau nak belajar, terpaksa berada di katil sahaja... Saya benar-benar percaya dengan kuasa ilmu. Dalam setiap fasa kehidupan, saya ingin meningkatkan diri dan menjadi lebih baik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg