Keppel telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) untuk meneroka peluang peralihan tenaga dan kemampanan sekitaran bernilai AS$800 juta ($1.05 bilion) di Asia-Pasifik.
Projek-projek itu dijangka menjadi sebahagian daripada perancangan aset infrastruktur untuk dana persendirian Keppel dan amanah perniagaan tersenarai, kata pengurus aset itu pada 20 Ogos.
Keppel akan bangunkan dan mengendalikan projek-projek ini, termasuk penyahkarbonan penjanaan kuasa, tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik dan bangunan hijau, menurut laporan The Business Times.
Secara kolektif, mereka mungkin mampu mengurangkan sekurang-kurangnya satu juta tan karbon dioksida setahun, kata syarikat tersebut.
Organisasi juga akan bekerjasama dalam pembiayaan gabungan, yang meneroka potensi penggunaan pembiayaan konsesi.
Ini akan “meningkatkan peluang untuk menjana pendapatan, menyokong hasil pembangunan dan membantu menggerakkan pelaburan swasta untuk projek,” kata Keppel.
Syarikat itu pada mulanya akan meneroka peluang di Asia Tenggara, menyasarkan jumlah nilai projek sebanyak AS$800 juta antara 2025 dengan 2030.
Ketua pegawai eksekutif bahagian infrastruktur Keppel, Cik Cindy Lim, berkata Keppel menawarkan kepakaran teknikal dan penyelesaian untuk projek infrastruktur mampan berskala besar dan juga mampu menggerakkan modal luaran daripada rakan kongsi.
Bersama dengan pembiayaan konsesi ADB dan kepakaran kerjasama serantau, serta pemadanan urus niaga dan keupayaan akses pasaran EnterpriseSG, perkongsian itu berada dalam kedudukan unik untuk “memacu perubahan yang memberi kesan dan membantu rantau ini mencapai pertumbuhan hijau”, katanya.
Pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo, berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta akan menjadi penting dalam mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian teknologi iklim secara berskala.
Saham Keppel didagangkan naik tiga sen, atau 0.5 peratus, pada $6.03 pada 9.06 pagi pada 20 Ogos, selepas pengumuman itu, menurut laporan The Straits Times.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg