Prestasi lebih baik segmen prasarana dan ketersambungan meningkatkan keuntungan bersih separuh tahun berakhir 30 Jun Keppel daripada operasi berterusan kepada $513 juta.
Ia meningkat 7 peratus daripada $481 juta pada tempoh sama pada 2023.
Keuntungan tersebut diraih walaupun pendapatan kasar syarikat itu berkurangan 13.2 peratus kepada $3.22 bilion bagi enam bulan pertama 2024, berbanding $3.72 bilion bagi tempoh sama setahun lalu.
Pendapatan itu tidak termasuk hapus kira aset luar pesisir dan marin lama, berikutan penjualan Keppel O&M.
Termasuk kesan aset lama O&M, keuntungan bersih daripada operasi berterusan syarikat itu mencapai $304 juta bagi separuh tahun pertama 2024, berbanding $445 juta bagi tempoh sama setahun lalu.
Syarikat itu mengumumkan pemberian dividen tunai awal sebanyak 15 sen sesaham, sejajar dengan pembayaran dividen pada 2023, yang akan dibayar pada 23 Ogos, lapor The Straits Times.
Pendapatan berulang Keppel meningkat 14 peratus kepada $388 juta, membentuk 76 peratus daripada keuntungan bersih bagi separuh tahun pertama, dengan sumbangan lebih tinggi daripada kededua pengurusan aset dan operasi.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, semua segmen mencatat keuntungan, dengan pendapatan lebih tinggi yang diraih dalam segmen prasarana dan ketersambungan mengatasi pendapatan hartanah yang berkurangan.
Mengulas mengenai hasil kewangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keppel, Encik Loh Chin Hua, berkata syarikat itu mencapai kemajuan berterusan dalam usaha transformasi untuk menjadi pengurus dan pengendali aset sedunia.
Menurut beliau, keuntungan pengurusan aset Keppel meningkat lebih seganda kepada $75 juta berbanding tempoh sama setahun lalu, didorong kededua pertumbuhan organik dan kejayaan pemerolehan 50 peratus kepentingan dalam syarikat pengurusan aset Eropah, Aermont Capital.
Selain itu, dana di bawah pengurusan Keppel meningkat 55 peratus kepada $85 bilion dalam enam bulan pertama 2024, tambah Encik Loh.
“Strategi ringan aset kami juga membuahkan hasil. Sejak akhir 2021, kami telah mengurangkan jumlah aset pada kunci kira-kira kami lebih 14 peratus kepada $27.7 bilion pada akhir separuh tahun pertama 2024.
“Dalam pada itu, dana di bawah pengurusan kami naik lebih seganda dalam tempoh ini. Hari ini kami mengejar pertumbuhan, mendorong pendapatan berulang dan meningkatkan pulangan kepada pemegang saham kami.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg