Keppel telah memeterai perjanjian bagi memperolehi 75 peratus kepentingan bagi pusat beli-belah pegangan kekal di Sydney dengan nilai A$393.8 juta ($334.8 juta) pada 7 Oktober.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengurusannya, Encik Chua Hsien Yang, berkata pada 8 Oktober bahawa ini menandakan pengembangan Keppel Reit ke dalam sektor runcit kerana Pusat Beli-Belah Top Ryde akan menjadi aset runcit tulen pertama bagi Reit tersebut.
“Pempelbagaian ini membolehkan Keppel Reit memanfaatkan ketahanan portfolio dengan lebih baik kerana pusat beli-belah runcit di Australia menawarkan hasil menarik, dengan aset pinggir bandar menunjukkan ketahanan dan potensi pertumbuhan disokong oleh pertumbuhan penggunaan dan peningkatan jumlah penduduk pada jangka panjang,” katanya.
Beliau menambah pengambilalihan ini akan meningkatkan pengagihan setiap unit (DPU) Reit dan dijangka memberikan pulangan lebih baik, sambil melengkapkan portfolio yang memberi tumpuan kepada pejabat di Singapura, lapor The Business Times (BT).
Pusat Beli-Belah Top Ryde City adalah pusat beli-belah bermutu tinggi dan bebas yang terletak di bandar Ryde.
Ia adalah sebahagian pembangunan campuran yang termasuk komponen kediaman dan menawarkan kawasan boleh disewa, dengan keseluruhannya sekitar 77,054 meter persegi dengan 2,739 tempat letak kereta.
Dengan penyewa bukan keperluan menyumbang 77 peratus daripada pendapatan sewa kasar pusat beli-belah ini, hartanah tersebut disokong oleh penyewa berprestasi tinggi seperti Aldi, Big W, Coles, Kmart dan Woolworths.
Pengurusnya berkata pusat beli-belah ini adalah aset bertahan dengan kadar penghunian yang mempunyai komitmen tinggi, iaitu 96 peratus dan tempoh purata sewaan selama 4.2 tahun berdasarkan sewa kasar yang komited.
Ia dijangka memberikan hasil sewa hartanah sepenuhnya sebanyak 6.7 peratus dan penambahan DPU yang diselaraskan sebanyak 1.34 peratus.
Pengambilalihan ini akan dibiayai melalui pinjaman, ekuiti dan sekuriti kekal. Ia dijangka diselesaikan pada suku pertama 2026.
Dalam pengumuman berasingan, pengurusnya berkata Keppel Reit akan mengeluarkan sekitar 112.5 juta unit baru melalui penempatan privet untuk mengumpulkan $113 juta, dengan sekitar $109.6 juta akan digunakan untuk pengambilalihan dan $3.4 juta akan digunakan untuk membayar bayaran dan perbelanjaan berkaitan penempatan privet tersebut.
Selepas pengambilalihan, nilai portfolio Keppel Reit akan meningkat kepada $9.8 bilion merangkumi 14 hartanah di Singapura (76 peratus), Australia (20.2 peratus), Korea Selatan (2.9 peratus) dan Jepun (0.9 peratus).
Ini akan merangkumi aset pejabat yang menyumbang 95.8 peratus daripada nilai portfolio, dan aset runcit yang menyumbang baki 4.2 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg