Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta elektrik buatan Huawei pintas jualan kenderaan mewah Eropah di China

Dec 24, 2025 | 1:17 PM
luxury car, Huawei, Maextro
Maextro, nama yang diilhamkan daripada perkataan Italy bermaksud ‘konduktor’, ditawarkan pada harga bermula 708,000 yuan ($129,400) dan mencecah 1.02 juta yuan bagi versi premium. - Foto HIMA

Sedan ultra mewah Maextro S800 keluaran Huawei Technologies kini melonjak popular di China, malah mengatasi jualan Porsche Panamera, Mercedes-Benz S-Class dan kenderaan lain yang berharga sekurang-kurangnya AS$100,000 ($128,500).

Sejak dilancarkan pada Mei, jualan Maextro telah mengatasi semua pesaing dalam julat harga itu pada September dan kekal di takhta jualan.

Pada November, unit yang terjual melebihi gabungan Panamera, antara model paling laris sejak sekian lama, dan BMW 7 Series, menurut data ECC Intelligence.

Dipasarkan setanding Rolls-Royce atau Bentley tetapi pada harga jauh lebih rendah, Huawei berjaya menawan salah satu segmen pasaran automotif China yang sebelum ini tegar dikuasai jenama asing.

Perkembangan ini menggambarkan bagaimana pengilang kereta dunia, yang sudah lama hilang kelebihan dalam segmen arus perdana, terus ketinggalan berbanding syarikat tempatan di pasaran automotif terbesar dunia.

 “Perubahan keperluan pengguna China serta kebanggaan yang semakin meningkat terhadap jenama tempatan telah mengubah landskap pasaran mewah,” kata pengasas firma perunding Zhineng Auto, Encik Zhu Yulong.

Huawei, yang terkenal sebagai antara syarikat teknologi terkemuka China, kini muncul sebagai kuasa penting dalam industri automotif negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui kerjasama dengan pengilang kereta tempatan. 

Dalam kerjasama ini, Huawei membekalkan teknologi canggih seperti perisian bantuan pemandu serta rangkaian jualan yang luas, manakala rakan kongsi menghasilkan kenderaan tersebut. 

Kumpulan Anhui Jianghuai Automobile menghasilkan Maextro di kilangnya di Hefei.

Maextro, nama yang diilhamkan daripada perkataan Italy bermaksud ‘konduktor’, ditawarkan pada harga bermula 708,000 yuan ($129,400) dan mencecah 1.02 juta yuan bagi versi premium.

Sebagai perbandingan, Panamera bermula pada harga 1.1 juta yuan di China.

“Maextro S800 ialah kejayaan pertama jenama China menembusi segmen ultra mewah bernilai 1 juta yuan,” kata Pengerusi kumpulan perniagaan pengguna Huawei, Encik Richard Yu, kepada penyiar negara CCTV pada 9 Disember.

Menurut beliau, Huawei mendahului era kepintaran dan pengelektrikan – iaitu proses menyambung kuasa elektrik pada kenderaan – melalui teknologi pintar serta inovasi.

Model sedan ini bukanlah kejayaan pertama Huawei. 

SUV Aito M9 menjadi kenderaan mewah paling laris di China dalam kalangan model berharga 500,000 yuan ke atas, hanya setengah tahun selepas dilancarkan pada akhir 2023.

Dalam mereka bentuk Maextro S800, Huawei dan JAC menekankan perincian jarang dilihat pada kereta buatan China, termasuk butang pelarasan tempat duduk kristal serta siling berbintang yang menyerupai langit malam dengan lebih 680 gentian optik. 

Ia turut dilengkapi papan pemuka tiga skrin, projektor filem 40 inci, lebih 30 alat pengesan serta pintu automatik.

Sebelum Huawei, pengilang tempatan gagal menembusi penguasaan jenama asing dalam segmen mewah tertinggi. 

Jenama Yangwang milik BYD pernah menghasilkan kenderaan berharga melebihi 1 juta yuan, namun jualannya tidak menghampiri tahap pemain mapan.

Sementara itu, BMW, Mercedes dan Audi terus kehilangan bahagian pasaran di China. 

Namun, masih belum pasti sama ada Huawei dan rakan pengeluarannya mampu mengekalkan kejayaan jangka panjang dalam pasaran premium, kata Encik Zhu.  

“Ini mencerminkan kebanggaan nasional dan peningkatan nilai jenama China, tetapi berapa lama ia boleh bertahan masih perlu diperhatikan,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg