Seramai 15,000 karyawan rantaian bekalan dan logistik dijangka akan dilatih melalui kerjasama tiga pihak antara ST Logistics, SkillsFuture Singapore (SkillsFuture SG) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Dalam peranan berterusannya di bawah inisiatif SkillsFuture Queen Bee, ST Logistics akan melatih pekerja daripada rangkaian pembekalnya dalam bidang pendigitalan, kemampanan dan keselamatan tempat kerja.
Komitmen itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 14 Ogos semasa Festival Pembelajaran Rantaian Bekalan 2025, yang dianjurkan ST Logistics dan Kesatuan Pekerja Rantaian Bekalan (SCEU).
“Apabila kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan mengubah landskap rantaian bekalan dan logistik, peranan pekerjaan turut berubah dan kemahiran yang diperlukan harus disesuaikan semula,” kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Dalam tempoh dua tahun pertama di bawah program SkillsFuture itu – iaitu sebagai peneraju industri yang menyokong pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam organisasi, terutama untuk syarikat kecil dan sederhana (SME) – ST Logistics telah membantu 80 SME dalam rangkaiannya menjalani transformasi.
ST Logistics kini dilantik semula dalam peranannya di SkillsFuture dalam sektor rantaian bekalan dan logistik untuk tempoh tiga tahun lagi, lapor The Business Times (BT).
Dalam penggal baru itu, syarikat tersebut menyasarkan untuk melatih pekerja daripada lebih 150 pembekal.
Bagi tujuan itu, ST Logistics akan membangunkan bersama latihan khusus bagi SME dan penyelesaian pembelajaran tempat kerja dengan rakan kongsi seperti NTUC LearningHub, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Pusat Kecemerlangan Nasional bagi Pembelajaran di Tempat Kerja yang diterajui Politeknik Nanyang (NYP).
Ia merangkumi kursus dalam bidang seperti AI, kemampanan dan rantaian bekalan digital; peningkatan kemahiran berdasarkan peranan pekerjaan melalui platform pembelajaran NTUC; serta pembelajaran berstruktur di tempat kerja.
ST Logistics juga akan melancarkan portal digital yang menampilkan latihan yang disusun khas, penjejakan kemajuan dan perkongsian amalan terbaik.
Portal itu akan memudahkan penggunaan inovasi bersama secara meluas dalam sektor tersebut, seperti penggunaan teknologi unjuran permintaan berasaskan AI.
Di bawah kerjasama tiga pihak ini, pengurus kemahiran yang dilantik ST Logistics akan menyepadukan sumber latihan NTUC ke dalam program jangkauan dan sokongan yang diberikan kepada pembekal, sekali gus menawarkan bantuan yang lebih menyeluruh.
Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan para pembekal serta NTUC untuk membangunkan pelan transformasi serta mencari penyelesaian yang boleh diguna pakai secara meluas untuk cabaran yang selalu dihadapi dalam rangkaian pembekal mereka.
Para pembekal ST Logistics juga boleh menggunakan sumber penilaian keupayaan NTUC serta geran Jawatankuasa Latihan Syarikat, yang membiayai bersama sehingga 70 peratus kos kelayakan untuk projek transformasi atau latihan berkaitan.
Mengulas tentang kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ST Logistics, Encik Loganathan Ramasamy, berkata:
“Bersama-sama, kami sedang membangunkan ekosistem masa depan yang menerapkan pendigitalan sepenuhnya, berlandaskan kemampanan, sambil memastikan keselamatan setiap pekerja yang memastikan rantaian bekalan kami terus beroperasi.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg