Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) terus berusaha mempertingkat perwakilan pekerja di Singapura, termasuk dengan mengkaji keperluan mempunyai undang-undang untuk melindungi kumpulan yang mudah terjejas dengan lebih baik, terutamanya dengan peningkatan kerja gig dan platform, kata presidennya, Cik K Thanaletchimi.
Ini termasuk kumpulan seperti pekerja platform, pekerja matang dan pekerja bergaji rendah.
Berucap di Sesi Ke-113 Persidangan Buruh Antarabangsa yang diadakan di Geneva, Switzerland, pada 9 Jun, Cik Thanaletchimi mengetengahkan dua undang-undang yang baru diluluskan di Singapura – Rang Undang-Undang Pekerja Platform dan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja.
Rang Undang-Undang Pekerja Platform, yang diluluskan pada September 2024, memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa hari ini.
Ini termasuk memastikan pekerja platform mempunyai simpanan yang mencukupi bagi perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mendapat pampasan kewangan sekiranya mengalami kecederaan semasa bekerja.
Rang itu juga menyediakan rangka kerja undang-undang bagi perwakilan, di mana Persatuan Pekerja Platform (PWA) boleh dibentuk untuk mewakili golongan pekerja itu dalam rundingan bersama syarikat platform.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja, yang diluluskan pada Januari 2025, pula memastikan pekerja dan pencari kerja di Singapura mempunyai perlindungan lebih besar terhadap diskriminasi atas sebab usia, kerakyatan, jantina, status perkahwinan dan juga kehamilan.
“Mencapai kata sepakat adalah mencabar, namun rakan kerjasama tiga pihak Singapura tekun dalam usaha dan bersetuju bahawa perundangan ini adalah langkah yang betul ke hadapan.
“Ia akan mengambil masa untuk menilai bagaimana rang undang-undang baru ini menangani keprihatinan pekerja platform, namun kami bersedia membuat penyesuaian yang diperlukan sedang kami maju,” kata Cik Thanaletchimi.
Dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) kini memulakan perbincangan mengenai instrumen baru untuk melindungi pekerja platform, Cik Thanaletchimi berkata NTUC berharap perbincangan tersebut akan menghasilkan “konvensyen kukuh, ditambah dengan saranan, untuk secara berkesan melindungi hak kumpulan pekerja mudah terjejas yang baru ini”.
“Pekerja ini sering menghadapi cabaran seperti keadaan bekerja yang kurang baik, salah klasifikasi dan pengecualian daripada undang-undang pekerja dan perlindungan sosial yang sedia ada,” kata beliau.
Cik Thanaletchimi turut berkongsi tentang usaha NTUC dalam membantu mempertingkat prospek gaji dan kerjaya pekerja sementara meningkatkan daya penghasilan serta memacu transformasi tenaga kerja.
Beliau memberitahu bahawa sekitar 3,000 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang diterajui kesatuan telah diwujudkan, dengan terdapat 400 projek transformasi yang memberi manfaat kepada lebih 7,400 pekerja sejauh ini.
Berita Harian sebelum ini melaporkan di bawah inisiatif CTC, lebih 7,000 pekerja telah menerima purata kenaikan gaji 5 peratus di atas kenaikan gaji tahunan, atau meraih manfaat daripada pelan pembangunan kerjaya atau elaun kemahiran.
“Sedang kami memulakan lembaran seterusnya, NTUC bersedia bekerjasama dengan ILO, dalam Asean, dan dengan rakan kongsi global kami untuk menggalakkan peralihan yang adil, pembelajaran sepanjang hayat dan rangkuman ekonomi,” kata Cik Thanaletchimi.
“
Sedang kami memulakan lembaran seterusnya, NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) bersedia bekerjasama dengan ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), dalam Asean, dan dengan rakan kongsi global kami untuk menggalakkan peralihan yang adil, pembelajaran sepanjang hayat dan rangkuman ekonomi.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg