Dana yang dicuri melalui penggodaman platform mata wang kripto meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun lalu kepada AS$2.2 bilion ($2.98 bilion) pada 2024, menurut laporan firma analisis blockchain, Chainalysis, pada 19 Disember.
Jumlah penggodaman melebihi AS$1 bilion buat tahun keempat berturut-turut, dan jumlah insiden meningkat kepada 303 kes daripada 282 kes pada 2023.
Penggodam telah mencuri AS$1.8 bilion pada 2023.
Peningkatan dalam jenayah kripto berlaku ketika nilai bitcoin melonjak sebanyak 140 peratus tahun ini, melebihi paras AS$100,000, menarik minat institusi dan sokongan daripada bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Apabila pasaran aset digital berkembang pesat, adalah perkara biasa untuk melihat peningkatan dalam penggunaan haram kripto.”
“Menangani peningkatan jenayah ini – terutama penipuan – pastinya akan menjadi cabaran utama bagi industri ini pada tahun baru,” kata ketua penyelidikan jenayah siber Chainalysis, Encik Eric Jardine.
Kunci peribadi yang dikompromi, yang mengawal akses kepada aset pengguna, menyumbang kepada sebahagian besar kripto yang dicuri tahun ini, dengan kebanyakan serangan menyasarkan platform berpusat, menurut laporan itu.
Antara serangan penggodaman yang paling menonjol ialah kecurian lebih AS$305 juta dari bursa kripto Jepun, DMM Bitcoin, pada Mei, dan kehilangan AS$235 juta dari WazirX di India pada Julai.
Penggodaman kripto yang dikaitkan dengan Korea Utara meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu kepada rekod tertinggi AS$1.3 bilion pada 2024, kata Chainalysis.
Mata wang kripto membolehkan Korea Utara mengelak sekatan antarabangsa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Negara itu bagaimanapun telah kerap kali menafikan penglibatan dalam penggodaman siber atau jenayah kripto.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg