Bank tempatan dan penyedia insurans sedang menyemak penggunaan nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) mereka, dan amalan sedia ada boleh berubah, kata mereka dalam kenyataan berasingan pada 19 Disember.
Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan aspek keselamatan berhubung pendedahan nombor NRIC di portal pendaftaran perniagaan baru Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
Menangani kebimbangan penyamar menggunakan nombor NRIC untuk menipu bank, Persatuan Bank Singapura (ABS) berkata nombor NRIC sahaja tidak boleh digunakan untuk membuat pembayaran dan pemindahan dana.
Pelanggan yang ingin berbuat demikian perlu menggunakan pengesahan berbilang faktor, dalam bentuk kata laluan sekali guna (OTP) atau pengesahan biometrik, untuk log masuk ke akaun mereka.
Aktiviti berisiko tinggi seperti pemindahan dana bernilai tinggi atau menambah penerima baru perlu penambahan kebenaran daripada pemilik akaun, kata ABS.
Dalam satu panggilan yang dibuat akhbar The Straits Times kepada bank tempatan, bank biasanya memerlukan pemanggil memasukkan nombor NRIC mereka sebagai pengenalan diri.
Pemanggil dikehendaki memasukkan OTP sebelum perkhidmatan atau maklumat khusus diberikan.
Transaksi melalui telefon juga terhad kepada pemindahan dana antara akaun pelanggan sendiri dengan bank dan bukan kepada orang lain, untuk tujuan keselamatan.
Nombor NRIC adalah berguna untuk membezakan individu dengan nama yang sama dan memudahkan proses pengenalan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di kaunter, kata ABS.
Dalam situasi mendesak, seperti penipuan yang sedang berlaku, beberapa bank telah memilih untuk menerima nombor NRIC sebagai pengenalan pelanggan yang memerlukan bantuan segera untuk mengelak transaksi penipuan, tambah ABS.
“Bank sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap amalan mereka mengenai penggunaan nombor NRIC.
“Kami meminta pemahaman pelanggan bahawa beberapa amalan sedia ada mungkin diubah,” jelas ABS.
Dalam satu kenyataan bersama pada 19 Disember, Persatuan Insurans Am Singapura dan Persatuan Insurans Hayat, Singapura, berkata nombor NRIC sahaja tidak boleh digunakan untuk menukar benefisiari yang dicalonkan atau maklumat akaun bank yang diserahkan kepada pengeluar untuk penerimaan pembayaran polisi.
Untuk log masuk ke perkhidmatan kewangan dalam talian, pelanggan juga perlu lulus pengesahan berbilang faktor.
Urus niaga di luar talian tertakluk kepada bentuk pemeriksaan lain.
Acra dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) telah memohon maaf atas pendedahan nombor NRIC penuh pengarah dan mereka yang didaftarkan di bawah pangkalan data Acra disebabkan kesilapan dalam komunikasi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg