Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerugian pemilik Cathay cecah $101.3j dek industri pawagam suram

Aug 29, 2025 | 3:46 PM
Cathay, rugi, meningkat
Enam pawagam Cathay telah ditutup sepanjang tiga tahun lalu dan kini hanya masih beroperasi adalah yang bertempat di pusat beli-belah Causeway Point, Century Square, Downtown East dan 321 Clementi. - Foto ZAOBAO

Pemilik rangkaian pawagam Cathay Cineplexes, mm2 Asia, mengalami kerugian bersih bagi separuh kedua tahun kewangan 2025 yang meningkat lebih 10 kali ganda kepada $101.3 juta.

Ini berbanding kerugian bersih $8.7 juta yang dicatat syarikat tersebut bagi tempoh sama pada 2024.

Syarikat tersebut menanggung kerugian walaupun pendapatannya bagi enam bulan sehingga Mac 2025 meningkat 21 peratus kepada $79.7 juta.

Ini berbanding pendapatan $65.9 juta yang diraih bagi tempoh sama pada 2024.

Demikian menurut keputusan kewangan syarikat itu yang diumumkan pada 28 Ogos.

Tiada pemberian dividen diumumkan mm2 Asia, lapor The Business Times (BT).

Penyumbang terbesar pada kerugian mm2 Asia ialah bahagian kerugiannya dalam perniagaan syarikat bersekutu, yang berjumlah $75 juta bagi enam bulan tersebut, melonjak lebih sembilan kali ganda berbanding $7.2 juta bagi tempoh sama pada 2024.

Bagi seluruh 2025, bahagian kerugian syarikat bersekutunya mencapai $82.8 juta, naik berbanding $11.9 juta pada 2024.

Syarikat tersebut menjelaskan ini disebabkan pelupusan perniagaan pawagamnya, mm Connect.

Pengerusi Eksekutif, mm2 Asia, Encik Melvin Ang, berkata:

“Separuh kedua tahun kewangan 2025 amat mencabar, khususnya dengan isu undang-undang dan kewangan daripada perniagaan pawagam kami.

“Kami menghargai pemilik premis pawagam ini sebagai rakan kongsi penting dalam ekosistem perniagaan kami.

“Namun, perjalanan ke arah pemulihan ternyata lebih panjang daripada jangkaan. Justeru, kami memahami kedudukan mereka.

“Kami masih berhubung secara aktif dengan semua pemiutang untuk merundingkan huraian adil dan saling memuaskan bagi memastikan daya maju jangka panjang syarikat ini.”

Pada Julai lalu, syarikat tersebut menyatakan ia sedang menilai semua pilihan yang ada untuk menangani masalah kewangannya, termasuk menutup rangkaian pawagamnya.

Pilihan lain termasuk meneruskan rundingan dengan pemilik premis Cathay untuk menyusun semula hutang sedia ada sambil meneruskan operasi perniagaannya.

Sebanyak enam pawagam Cathay telah ditutup sepanjang tiga tahun lalu.

Kini hanya empat pawagam Cathay yang masih beroperasi, iaitu di pusat beli-belah Causeway Point, Century Square, Downtown East dan 321 Clementi.

Mengenai prospek masa depan syarikat itu, mm2 Asia, menyatakan:

“Segmen pawagam menghadapi cabaran ketara. Bilangan kehadiran penonton masih belum pulih sepenuhnya berikutan gangguan akibat pandemik.

“Selain itu, persaingan daripada wadah penstriman bersama margin operasi minimum menimbulkan tekanan kepada keuntungan pawagam.”

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh kos operasi yang terus meningkat dan tingkah laku penonton yang berubah, menjadikan pemulihan berterusan dalam perniagaan pawagam sebagai satu cabaran yang sukar.

“Ini mendorong (syarikat) mempertimbangkan usaha penyusunan semula, penggabungan atau pelupusan (perniagaan),” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg