Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shaw Theatres ambil alih pawagam Cathay di Jem

May 9, 2025 | 2:48 PM
cathay, jem, shaw, pawagam
Shaw Theatres akan mengambil alih ruang pawagam yang sebelum ini dikendalikan oleh Cathay Cineplexes di pusat beli-belah Jem di Jurong East. - Foto ZAOBAO

Shaw Theatres bakal mengambil alih ruang pawagam seluas 47,000 kaki persegi, yang sebelum ini dikendalikan oleh Cathay Cineplexes di pusat beli-belah Jem di Jurong East.

“Jem adalah pusat beli-belah yang hebat dan kami sedang merancang pelbagai tawaran yang diharapkan dapat menarik minat para pengunjung,” kata jurucakap Shaw Theatres, sambil menambah bahawa tarikh pembukaan rasminya masih belum ditetapkan.

Dengan pembukaan itu, Shaw Theatres akan mempunyai lapan cawangan pawagam di seluruh Singapura.

Cawangannya di Seletar Mall telah ditutup pada Disember 2024 selepas pihak pengurusan pusat beli-belah itu memutuskan untuk mengubah penggunaan ruang tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Pada Ogos 2023, cawangannya di JCube, Jurong East turut dihentikan selepas pusat beli-belah itu ditutup.

“Kami teruja untuk kembali menyediakan khidmat kepada penduduk Jurong East dan kawasan sekitarnya,” tambah jurucakap itu.

Langkah itu diambil selepas Lendlease Global Commercial Real Estate Investment Trust (LReit) – pemilik pusat beli-belah Jem – menamatkan pajakannya dengan Cathay Cineplexes dan mengambil semula ruang pawagam tersebut pada 27 Mac.

Cathay Cineplexes, yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX), mm2 Asia, dilaporkan mempunyai bayaran sewa tertunggak.

LReit sedang berusaha mendapatkan semula tunggakan sewa berjumlah sekitar $4.3 juta, antara lain.

Dalam maklumat terkini perniagaan yang berakhir 31 Mac, LReit berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Cathay Cineplexes untuk mendapatkan semula bayaran sewa tertunggak itu dan “akan memberikan maklumat lanjut pada masa yang sesuai”.

LReit turut mengumumkan pada 7 Mei tentang pajakan barunya bersama Shaw Theatres, namun tidak memperincikan tempoh pajakan tersebut.

Ia turut mengumumkan senarai penyewa baru lain, termasuk rangkaian teh Cina, Chagee; jenama pakaian aktif dari Canada, Lululemon; dan rangkaian kedai barangan terpakai Jepun, 2nd Street, yang mula beroperasi pada 29 April di 313@somerset – sebuah lagi pusat beli-belah di bawah pemilikan LReit.

Sepanjang suku pertama 2025 yang berakhir pada 31 Mac, portfolio runcit LReit mencatat kadar penghunian kukuh sebanyak 99.5 peratus, dengan semakan semula kadar sewa yang lebih tinggi iaitu 10.4 peratus bagi pajakan baru atau yang diperbaharui.

Namun, jumlah pengunjung menunjukkan kemerosotan 0.2 peratus, manakala jualan penyewa setakat 2025 menurun 5.1 peratus.

LReit berkata penurunan itu disebabkan oleh landskap runcit yang lebih lembab, peningkatan pelancongan ke luar negara, serta prestasi yang lemah dalam kategori seperti kasut dan beg, fesyen dan aksesori, serta barangan dan pakaian sukan.

“Jualan runcit di Singapura terus berdepan tekanan, sambil para peruncit menyesuaikan diri dengan kenaikan kos dan persaingan e-dagang.

“Namun, prospek bagi 2025 kekal optimistik, disokong oleh inflasi yang semakin reda dan pemulihan dalam sektor pelancongan,” kata LReit.

Bagi portfolio pejabatnya, LReit melaporkan peningkatan positif dalam kadar sewa, dengan kadar penghunian sebanyak 86.6 peratus setakat 31 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg