Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan tarif AS ke atas operasi SIA Engineering masih terlalu awal untuk dinilai

May 13, 2025 | 6:42 PM
SIA Engineering, tarif, kesan, terlalu awal
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA Engineering Company (SIAEC), Encik Chin Yau Seng, menjelaskan dalam satu taklimat pada 13 Mei, bahawa SIAEC sedang memantau tarif yang diumumkan Amerika Syarikat pada 2 April, serta kesannya kepada mereka. - Foto BT

Setakat ini, operasi SIA Engineering Company (SIAEC) hanya sedikit atau tidak terjejas dengan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, namun ia masih terlalu awal untuk membuat penilaian, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Chin Yau Seng, dalam satu taklimat pada 13 Mei.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump telah melancarkan tarif ‘Hari Pembebasan’ pada 2 April, dan SIAEC sedang memantau tarif tersebut serta kesannya. 

Syarikat itu berkata ia akan meneliti struktur kontrak yang ditawarkan dan merancang untuk memindahkan kos tersebut kepada para pelanggan.

“Kami sedang memantau situasi ini, dan saya rasa tiada siapa yang benar-benar tahu bagaimana semua ini akan berakhir,” katanya.

Memandangkan tarif itu belum memberi kesan kepada harga, syarikat penerbangan dilihat masih belum memindahkan operasi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pembaharuan (MRO) mereka yang berpangkalan di China ke pasaran Asia lain.

Namun, para pengangkut telah berusaha untuk mempelbagaikan pangkalan MRO mereka di luar negara sebelum tarif dikenakan, kata Encik Chin.

“Kami telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, dan antara pelanggan kami juga adalah pengangkut dari Amerika, jadi mungkin itu satu peluang, tetapi kami akan teruskan perbincangan untuk melihat ke mana ia akan membawa kami,” jelas Encik Chin.

Bagi tahun kewangan 2025 (FY2025) yang berakhir pada 31 Mac, peningkatan dalam perbelanjaan SIAEC didorong terutamanya oleh kos bahan dan kos subkontrak, lapor The Straits Times (ST).

Kos bahan meningkat sebanyak 32.8 peratus kepada $272 juta bagi FY2025 berbanding $204.8 juta dalam FY2024.

Kos subkontrak pula meningkat sebanyak 36.6 peratus kepada $150.1 juta, berbanding $105.9 juta yang dicatatkan pada 2024.

Meskipun kos bahan dapat dipindahkan kepada pelanggan, kos subkontrak mungkin tidak boleh dilakukan sedemikian, bergantung kepada kontrak yang ditawarkan. 

Kos bahan meningkat disebabkan inflasi dan isu rantaian bekalan, namun kos subkontrak meningkat kerana peningkatan jumlah dan kenaikan kadar yang berlaku pada FY2025.

“Kami telah menanggung kos tambahan pada tahun kewangan lalu (FY2024), tetapi untuk tahun-tahun mendatang, kami telah memeterai kontrak selama tiga tahun. Jika ada peningkatan besar, ia sudah berlaku tahun lepas,” kata Encik Chin.

Memandang ke depan, SIAEC sedang melaksanakan sistem operasi perusahaan (EOS) baru yang akan meningkatkan kecekapan dan keselarasan dalam operasi MRO mereka. 

Dengan permintaan daripada syarikat penerbangan yang melebihi kapasiti tempat penyelenggaraan syarikat, EOS ini dijangka, antara lain, dapat membantu dalam ramalan dan perancangan untuk mengoptimumkan kapasiti yang ada.

SIAEC akan bekerjasama rapat dengan pelanggan sebagai sebahagian daripada EOS untuk merancang pemeriksaan pesawat.

Daripada kebolehramalan pemeriksaan hingga ketersediaan alat ganti, faktor ini akan diambil kira oleh EOS bagi memastikan syarikat lebih cekap dalam memenuhi garis masa penghantaran bagi pemeriksaan penyelenggaraan.

Mengulas mengenai fungsi EOS baru itu, Encik Chin menjelaskan bahawa semakin mudah operasi syarikat diramal, semakin mudah untuk mengenal pasti kapasiti yang boleh dijual, yang seterusnya boleh diterjemahkan kepada hasil pendapatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg