Dua kontrak untuk kerja-kerja asas dan prasarana kawasan luar kawalan pasport dan kastam di terminal baru – Terminal 5 Lapangan Terbang Changi (T5) – yang bernilai $4.75 bilion telah dianugerahkan kepada tiga syarikat, kata Changi Airport Group (CAG).
Pembinaan T5 akan bermula pada separuh pertama 2025, dan dijangka siap pada pertengahan 2030-an, kata CAG dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Mei.
Kontrak kerja-kerja asas telah diberikan kepada usaha sama antara syarikat China Communications Construction Company Limited (Cawangan Singapura) (CCCC) dengan Obayashi Singapore yang bernilai sebanyak $3.8 bilion.
Kerja tersebut melibatkan pembinaan asas dan ruang bawah tanah terminal penumpang utama T5 dan pusat pengangkutan darat, serta sebahagian daripada terowong yang menghubungkan T5 dengan Terminal 2 (T2).
Tapak kerja asas itu sebesar kira-kira 140 hektar dan sedalam sehingga 28 meter, bersamaan dengan kira-kira 5,200 kolam renang bersaiz Olimpik, tambah CAG.
Syarikat Hwa Seng Builder pula menerima anugerah bagi kontrak bernilai $950 juta untuk kerja prasarana kawasan luar kawalan pasport dan kastam di terminal, yang termasuk pembangunan tempat bagi pesawat jauh, penyambung laluan khusus bagi pesawat bergerak ke tempat hentian pesawat (taxilane) dan bangunan sokongan sampingan.
Pengarah Urusan CAG untuk Changi East, Encik Ong Chee Chiau, berkata pelantikan kontraktor untuk pembinaan asas dan kerja lapangan terbang membawa CAG lebih dekat kepada permulaan pembinaan T5.
“Dengan kapasiti yang dirancang sebanyak kira-kira 50 juta penumpang setiap tahun, T5 mewakili salah satu projek pembinaan yang paling kompleks di Singapura.
“Kededua CCCC dan Obayashi Singapore membawa banyak pengalaman dalam kejuruteraan awam, pembinaan dan pengurusan projek, dengan rekod prestasi yang kukuh dalam melaksanakan projek berskala besar dan prasarana antarabangsa,” kata Encik Ong.
CCCC telah membangunkan dua laluan teksi pesawat yang menghubungkan Landasan 2 dan 3 sistem tiga landasan Lapangan Terbang Changi, serta dua bahagian terowong bawah tanah untuk lalu lintas kenderaan di bawah laluan teksi.
Di samping itu, Obayashi Singapore pula telah menyelesaikan terowong antara terminal yang menghubungkan T2 dan T5 untuk sistem penggerak automatik penumpang dan pengendalian bagasi.
Encik Ong menambah: “Hwa Seng Builder membawa kepakaran tempatan yang berharga dan pengetahuan mendalam tentang Lapangan Terbang Changi, yang dibina melalui kejayaan pelbagai projek lalu.
“Bersama rakan kongsi kami, kami akan memastikan bahawa piawaian tinggi yang mentakrifkan Lapangan Terbang Changi boleh diterapkan atau ditingkatkan dalam kerja-kerja pembangunan T5”.
Syarikat Hwa Seng Builder memainkan peranan penting dalam projek di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg