Kesemua 7 pantai rekreasi di S’pura dinilai baik, sesuai untuk aktiviti air
Kesemua 7 pantai rekreasi di S’pura dinilai baik, sesuai untuk aktiviti air
Tujuh pantai rekreasi Singapura kini diiktiraf “baik” keseluruhannya. Ini termasuk Pantai Sembawang Park, yang telah berada pada gred “sederhana” sejak 2024.
Tujuh pantai tersebut terletak di Changi, East Coast Park, Pasir Ris, Punggol, Pulau Seletar, Sembawang Park dan pulau Sentosa.
Dengan peningkatan gred Sembawang Park, orang ramai kini bebas berenang dan melakukan aktiviti air seperti papan luncur air, luncur angin, dan bermandi-manda di perairan sana, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 29 Januari.
Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjadi rujukan NEA dalam menilai gred pantai rekreasi.
Penilaian ini mengambil kira peningkatan bakteria Enterococcus (EC) dalam sampel air pantai, yang meningkatkan risiko jangkitan pada pencernaan apabila air ditelan.
NEA menasihati pengunjung pantai untuk menyemak maklumat mingguan kualiti air jangka pendek di laman web NEA atau aplikasi myENV sebelum melakukan aktiviti air, kerana tahap bakteria EC mungkin meningkat pada bila-bila masa.
Bakteria EC di perairan Singapura dipercayai berpunca daripada sumber seperti pelepasan daripada pusat pembuangan sampah, tempat makan, dan tapak pembinaan.
Amalan kebersihan dan pengurusan sisa yang tidak betul, seperti membuang air sisa ke longkang awam, boleh menjejaskan kualiti air di laluan air kita, tambah NEA.
Agensi pemerintah sedang mempertingkatkan pemeriksaan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meminimumkan tahap bakteria EC di laluan air Singapura.
Penilaian gred pantai rekreasi seterusnya dijadualkan pada Julai 2026.
Dalam laporan sebelumnya, NEA telah memantau tahap Escherichia coli (E. coli) di pantai Sentosa, selepas acara renang di Kejohanan Akuatik Dunia ditunda kerana tahap bakteria itu yang tinggi.
Acara 10 kilometer wanita pada 15 Julai ditunda ke 16 Julai kerana tahap E. coli melebihi had.
Lazimnya, NEA menilai mutu air laut berdasarkan Enterococcus, kumpulan bakteria yang digunakan oleh WHO, dan bukannya E. coli, untuk menentukan kesesuaian pantai bagi kegiatan rekreasi.
Dalam penilaian terbaru pada Januari sebelumnya, NEA menyatakan pantai Sentosa dinilai “baik” dan sesuai untuk berenang serta kegiatan lain.


