Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah mula memantau tahap Escherichia coli (E. coli) di pantai Sentosa, selepas acara renang di Kejohanan Akuatik Dunia dua kali ditunda akibat tahap bakteria itu yang tinggi di dalam air.
Lazimnya, NEA tidak menilai mutu air laut berdasarkan tahap E. coli, tetapi mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggunakan satu lagi kumpulan bakteria, Enterococcus, untuk menentukan kesesuaian pantai bagi kegiatan rekreasi, lapor The Straits Times (ST).
WHO mengesyorkan Enterococcus kerana kajian menunjukkan hubungan kuat antara tahap bakteria ini dalam air laut, dengan risiko kesihatan awam.
WHO juga menyatakan bahawa data tidak mencukupi untuk membuat garis panduan serupa bagi E. coli dalam air laut.
“Walaupun NEA akan terus memantau mutu air pantai kita berdasarkan Enterococcus, kami kini juga memantau tahap E. coli di pantai Sentosa berikutan perkembangan terbaru ini,” kata NEA.
NEA turut menambah bahawa tahap E. coli pada 15 Julai adalah rendah dan agensi itu akan terus memantau mutu air di pantai Sentosa dalam beberapa hari akan datang.
NEA berkata pemantauan mingguan air menunjukkan bahawa mutu air di pantai-pantai tersebut berada dalam julat “normal” dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pantai-pantai rekreasi itu juga dinilai setiap enam bulan berdasarkan 100 sampel air terakhir.
NEA menyatakan bahawa pantai Sentosa dinilai “baik” dalam penilaian terbaru pada Januari, dan dirasakan sesuai untuk berenang dan kegiatan lain.
Punca peningkatan tahap E. coli di dalam air masih tidak diketahui, tetapi bakteria ini biasanya ditemui dalam usus manusia dan haiwan.
Walaupun kebanyakannya tidak berbahaya, ada yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti cirit-birit, jangkitan saluran kencing, pneumonia, dan sepsis.
Tahap E. coli yang tinggi di sekitar Sentosa menyebabkan penundaan acara renang terbuka di Kejohanan Akuatik Dunia, yang diadakan di Singapura buat kali pertama.
Mengikut peraturan Kejohanan Akuatik Dunia, tahap E. coli dalam air laut dan air peralihan (mengikut pasang surut) tidak boleh melebihi 250 unit pembentukan koloni setiap 100 mililiter.
Ia mengamalkan piawaian mutu air yang lebih ketat berbanding renang rekreasi, memandangkan pendedahan atlet dalam perlumbaan 10 kilometer yang berlangsung dua jam.
Acara 10 kilometer wanita pada 15 Julai telah ditunda selepas tahap E. coli melebihi had, dan ditunda ke 16 Julai.
Perlumbaan lelaki dan wanita kemudian ditunda lagi, masing-masing ke 1 petang dan 4 petang, selepas sampel air yang diambil pada pagi 15 Julai menunjukkan tahap bakteria masih tinggi.
Acara seterusnya adalah perlumbaan 5 kilometer pada 18 Julai.
Akuatik Dunia akan terus memantau mutu air sepanjang pertandingan itu untuk memastikan keselamatan atlet, dengan kesihatan semua peserta sebagai panduan utama.
Profesor Madya Yann Boucher, pengarah bersama bagi program iklim, alam sekitar dan kesihatan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata atlet berisiko lebih tinggi kerana senaman yang berat boleh menyebabkan mereka menelan lebih banyak air.
Sumber pencemaran E. coli boleh datang daripada haiwan, manusia, atau pelepasan air sisa, terutama selepas hujan lebat.
Profesor Paul Tambyah, bekas presiden Persatuan Antarabangsa bagi Penyakit Berjangkit, menambah, bakteria ini juga boleh datang daripada bot yang tidak membuang sisa dengan betul.
Katanya lagi, air laut lebih tahan terhadap E. coli disebabkan garam dan cahaya matahari.
Pengunjung pantai boleh merujuk kepada maklumat mingguan mengenai mutu air di tujuh pantai rekreasi popular di go.gov.sg/beach-water-info.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg