Kesesakan di pelabuhan kontena Singapura berada pada tahap paling teruk sejak pandemik Covid-19 – satu petanda laluan perkapalan lebih panjang untuk mengelak serangan di Laut Merah telah mengganggu perkapalan lautan global – dengan kesesakan juga muncul di pelabuhan Asia dan Eropah lain.
Peruncit, pengilang dan industri lain yang bergantung pada kontena besar kapal, sekali lagi bergelut dengan kadar penghantaran yang meningkat, kesesakan pelabuhan dan kekurangan kontena kosong, sedang banyak syarikat ingin membina inventori menjelang puncak musim beli-belah pada akhir tahun.
Kesesakan pelabuhan global telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan, dengan 60 peratus kapal terpaksa menunggu di pelabuhan di Asia, dedah firma data maritim Linerlytica pada Jun.
Banyak kapal dengan jumlah kapasiti lebih 2.4 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) sedang menunggu di pelabuhan pada pertengahan Jun, menurut laporan The Business Times.
Tetapi, tidak seperti semasa wabak Covid-19, ia bukan didorong kenaikan besar pembeli yang duduk di rumah yang menyebabkan kesesakan di pelabuhan.
Sebaliknya ia disebabkan jadual kapal yang terganggu, akibat jadual pelayaran yang tidak dapat dipenuhi dan kapal terpaksa mengambil laluan lebih panjang di sekitar Afrika untuk mengelak kawasan Laut Merah, tempat kumpulan Houthi Yaman melancarkan serangan ke atas kapal sejak November 2023.
Oleh itu, kapal terpaksa memunggah jumlah lebih besar di hab pemindahan kapal yang besar seperti Singapura, yang mana kargo dipunggah dan dimuat semula pada kapal yang berlainan, bagi perjalanan maritim terakhir mereka.
“(Firma kapal pengiriman) cuba menguruskan keadaan dengan meletakkan kontena di hab pemindahan kapal,” kata Encik Jayendu Krishna, timbalan ketua perundingan yang berpangkalan di Singapura, Drewry Maritime Advisors.
“Syarikat kapal telah mula menghimpunkan kontena di Singapura dan hab (perkapalan) lain.”
Purata bilangan pemunggahan kargo Singapura melonjak 22 peratus antara Januari dengan Mei, memberi kesan ketara kepada produktiviti pelabuhan.
Singapura, pelabuhan kontena kedua terbesar di dunia, mengalami kesesakan yang teruk sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Purata masa menunggu untuk melabuhkan kapal kontena ialah dua hingga tiga hari, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada akhir Mei.
Firma penjejak kontena Linerlytica dan PortCast berkata kelewatan boleh berlaku sehingga seminggu. Biasanya, jadual untuk berlabuh mengambil masa kurang sehari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg