NEW DELHI: Ketegangan perdagangan dan keadaan politik serta ekonomi yang tidak stabil telah menjejas permintaan untuk perjalanan udara yang sebelum ini dijangka tinggi.
Walaupun jumlah penumpang dijangka mencapai rekod 4.99 bilion pada 2025 – lebih 4 peratus berbanding 2024 – ia kurang daripada ramalan awal 5.22 bilion oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) pada Disember 2024.
Namun, keuntungan bersih syarikat penerbangan dijangka meningkat kepada AS$36 bilion ($46.4 billion) pada 2025, berbanding AS$32.4 bilion pada 2024, dengan margin keuntungan juga naik kepada 3.7 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Pengarah Iata, Encik Willie Walsh, berkata 2025 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk syarikat penerbangan walaupun terdapat cabaran di pasaran sejagat.
Asia-Pasifik kekal sebagai pasaran perjalanan udara terbesar dengan permintaan yang kukuh terutama selepas kelonggaran syarat visa di beberapa negara seperti China, Vietnam, Malaysia dan Thailand.
Walau bagaimanapun, ramalan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) untuk rantau ini, terutama China, telah dikurangkan akibat cabaran ekonomi.
Harga bahan api jet yang turun 13 peratus menjadi pemangkin utama peningkatan keuntungan.
Inflasi yang semakin terkawal dan tahap pekerjaan yang kukuh turut dijangka menyokong pertumbuhan permintaan perjalanan udara walaupun lebih perlahan.
Tinjauan Iata pada April menunjukkan majoriti pelancong dijangka meneruskan atau meningkatkan kekerapan perjalanan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Walaupun 73 peratus dijangka terjejas oleh ketegangan perdagangan, 65 peratus tidak akan mengubah pelan pelancongan mereka.
Antara pengembara perniagaan, 68 peratus akan lebih kerap melawat pelanggan mereka.
Harga tambang udara pula dijangka turun 4 peratus pada 2025 disebabkan harga minyak yang rendah dan persaingan sengit dalam perusahaan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg