Singapura mesti bertindak awal dan tegas untuk meneroka bahan api alternatif seperti hidrogen dan ammonia, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Puah Kok Keong.
Beliau berkata pembakaran ammonia secara langsung untuk penjanaan tenaga, dan bukan hanya menggunakannya sebagai pembawa hidrogen, mungkin menjadi cara berdaya maju untuk mencapai sifar pelepasan menjelang 2050.
Ini amat penting bagi negara kecil seperti Singapura yang bergantung kepada import dan mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang terhad, lapor akhbar The Business Times (BT).
Menurut Encik Puah, banyak negara seperti Jepun dan Korea Selatan berminat menggunakan hidrogen bagi pengurangan karbon.
Negara itu biasanya bergantung kepada gas asli dan import tenaga.
“Negara-negara Asia Tenggara yang lain juga berminat (dengan bahan api hidrogen), tetapi mereka mempunyai banyak pilihan tenaga lain yang tersedia untuk mereka.
“Oleh itu, mereka mungkin tidak rasakan keperluan untuk menjadi peneraju,” tambahnya.
Sebaliknya, Singapura kekurangan akses kepada sumber tenaga boleh diperbaharui utama seperti tenaga hidro, angin atau tanah yang mencukupi bagi tenaga nuklear konvensional.
“Bagi Singapura, kita tidak mempunyai sebanyak pilihan seperti negara-negara lain.
“Oleh itu, kita perlu mula melabur awal dan meneroka laluan-laluan tertentu dan menjadikannya kenyataan,” kata Encik Puah.
Singapura melancarkan Strategi Hidrogen Nasional pada 2022, dengan sasaran hidrogen untuk membekalkan sehingga separuh keperluan tenaga menjelang 2050.
Hari ini, lebih 90 peratus elektrik Singapura masih dijana menggunakan gas asli import.
Walaupun hidrogen menjanjikan potensi, penyepaduannya ke dalam campuran tenaga penuh dengan cabaran logistik dan teknikal.
Penghasilan hidrogen hijau, yang tidak berasal daripada bahan api fosil, memerlukan dua ramuan penting iaitu tenaga hijau yang murah dan air bersih dalam jumlah besar untuk elektrolisis.
Kedua-duanya bukan sesuatu yang mampu disediakan Singapura.
Pengangkutan hidrogen juga mendatangkan cabaran.
“Oleh kerana ia sangat ringan, jika anda ingin mencairkannya, anda perlu menyejukkannya ke suhu yang sangat rendah – jauh lebih rendah daripada suhu gas asli dalam bentuk cecair.
“Proses itu sendiri memerlukan banyak tenaga dan sukar dilakukan,” jelasnya.
Walaupun Eropah mempunyai rangkaian paip hidrogen yang luas, Asia Tenggara kekurangan prasarana serupa, membataskan kebolehlaksanaan hidrogen di rantau ini.
Ammonia, yang digunakan secara meluas dalam pengeluaran baja dan disokong oleh prasarana penyimpanan dan pengangkutan sedia ada, kini muncul sebagai alternatif yang lebih praktikal.
“Justeru, penggunaan ammonia untuk penjanaan tenaga menjadi pilihan menarik yang kami harap suatu hari nanti dapat dicapai,” kata Encik Puah.
Walaupun turbin gas yang mampu beroperasi dengan hidrogen sepenuhnya sudah menjadi sasaran yang boleh dicapai dan sedang diusahakan oleh syarikat seperti Siemens Energy, EMA kini giat meneroka sama ada turbin juga boleh beroperasi dengan ammonia sepenuhnya.
Ini dapat mengelakkan keperluan untuk terlebih dahulu memisahkan ammonia menjadi hidrogen, satu proses yang menyebabkan kehilangan tenaga.
EMA kini aktif meneroka kebolehlaksanaan pembakaran ammonia secara langsung dalam turbin gas, yang sebaliknya dapat meningkatkan kecekapan.
Pada Oktober, EMA dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) melantik konsortium Keppel untuk mengkaji penggunaan ammonia bagi penjanaan tenaga dan pembekalan bahan api kapal, di bawah Strategi Hidrogen Nasional.
Potensi ammonia sebagai bahan api melangkaui sektor tenaga.
Encik Puah berkata industri marin turut meneroka ammonia sebagai alternatif lebih bersih bagi bahan api kapal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg