Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

A*Star, firma tenaga alternatif bangun teknologi pertukaran ammonia kepada tenaga

Sep 23, 2025 | 5:30 PM
Amogy, A’Star, amonia
(Dari kiri) Ketua Eksekutif Amogy, Encik Seonghoon Woo; Pengarah Eksekutif A*Star bagi Daya Tahan Kimia dan Sekitaran, Encik Reginald Tan; dan Penolong Ketua Eksekutif Majlis Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan A*Star, Profesor Lim Keng Hui, sewaktu menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di pejabat A*Star di Fusionopolis Way pada 22 September. - Foto AMOGY

Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) telah memeterai kerjasama dengan Amogy, sebuah syarikat penyedia sistem teknologi penukaran ammonia kepada tenaga, sebagai sebahagian usahanya menjana tenaga mampan.

Kededua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 22 September bagi meneroka kerjasama dalam pembangunan dan pengerahan teknologi berunsurkan ammonia di Singapura.

Menerusi MOU yang ditandatangani di pejabat A*Star di Fusionopolis Way, ia juga langkah menyokong teras keutamaan dalam Pelan Singapura Menghijau 2030 dan Strategi Hidrogen Nasional Singapura.

Di bawah MOU berkenaan, kededua pihak akan meninjau peluang mengasaskan satu sistem perintis, di mana ammonia boleh ditukar menjadi bekalan tenaga di Pulau Jurong.

Kerjasama itu merupakan sebahagian usaha A*Star dalam bidang tenaga mampan dan bahan kimia.

A*Star, malahan, ingin menyediakan kepakaran dalam keselamatan dan piawaian, menilai kos dan kemampanan, serta membangun teknologi baru dalam membantu menskala sistem ammonia kepada penjanaan kuasa secara selamat dan berkesan.

Amogy yang berpangkalan di Brooklyn, New York, berkata sistem tersebut boleh menjadi gantian kepada bahan api fosil, dengan penggunaan karbon rendah hingga sifar yang berdaya maju.

Teknologi itu boleh dimanfaatkan dalam bidang penjanaan elektrik, perkapalan maritim dan industri berat.

Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan menguji sistem itu di Pulau Jurong bagi menilai keberkesanan teknologi ammonia bersih dalam keadaan sebenar dan memacu peralihannya dari makmal ke penggunaan komersial, lapor The Business Times (BT).

Dalam pada itu, Amogy berkata kerjasama itu akan menyokong usaha mengurangkan penggunaan karbon dalam industri pusat data Singapura yang dijangka berkembang pesat, namun menimbulkan cabaran tenaga bersih kerana penggunaan elektriknya yang tinggi.

Kedua-dua pihak juga akan menjalankan penyelidikan bersama dalam teknologi pemangkin ammonia yang lebih canggih.

Ketua Eksekutif Amogy, Encik Seonghoon Woo, menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam mengurangkan karbon dalam sektor genting seperti pusat data dan industri berat.

Penolong Ketua Eksekutif, Majlis Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan A*Star, Profesor Lim Keng Hui, berkata beliau berharap program itu dapat menyumbang kepada matlamat ekonomi dan kelestarian Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg