NEW DELHI: Singapura membuat pelaburan untuk membina Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi tepat pada masanya, memandangkan Asia Tenggara dijangka menjadi antara pasaran penerbangan paling pesat berkembang di dunia.
Demikian menurut ketua sebuah badan perdagangan sejagat bagi syarikat penerbangan.
“Ia adalah satu pembangunan yang sangat wajar,” kata Ketua Pengarah, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), Encik Willie Walsh, kepada wartawan pada 3 Jun, semasa sesi meja bundar bersama media Asia pada mesyuarat tahunan persatuan itu di New Delhi.
“Penting untuk memastikan bahawa kapasiti disediakan lebih awal daripada permintaan, terutamanya bagi sebuah lapangan terbang seperti Singapura, yang berbangga dengan tahap perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan syarikat penerbangan dan kepada syarikat penerbangan itu sendiri,” katanya.
“Asia Tenggara merupakan bahagian dunia yang mungkin akan menyaksikan pertumbuhan paling pesat pada masa depan,” tambah beliau, sambil menyatakan kadar pertumbuhan pesat turut berlaku di India dan China.
Terminal 5, yang dijangka menelan belanja berbilion dolar untuk dibina, direka untuk mengendalikan sekitar 50 juta penumpang setahun apabila ia dibuka pada pertengahan 2030-an.
Ini akan membolehkan Lapangan Terbang Changi mengendalikan 140 juta penumpang setiap tahun, meningkat daripada 90 juta sekarang, lapor The Straits Times (ST).
Encik Walsh, seorang tokoh berpengalaman dalam industri penerbangan yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), British Airways, berkata Iata menyokong pembangunan terminal mega baru di Singapura itu.
Beliau turut menyatakan bahawa persatuan itu telah mengadakan dialog berterusan bersama pengendali lapangan terbang di sini dan pemerintah mengenai perkara tersebut.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana banyak lapangan terbang lain di seluruh dunia tidak memahami sepenuhnya keperluan syarikat penerbangan, yang akhirnya membawa kepada pembangunan yang tidak sesuai atau terlalu mahal.
Menjawab soalan mengenai cukai di India, beliau berkata syarikat penerbangan akan sentiasa menghadapi isu caj lapangan terbang.
“Pandangan syarikat penerbangan ialah kami mahukan operasi lapangan terbang yang cekap pada harga berpatutan.
“Ini bermakna kami mahu melihat lapangan terbang membuat pelaburan jangka panjang yang wajar, yang mampu ditanggung oleh industri penerbangan,” ujar Encik Walsh.
“Jelas sekali, perkara ini memerlukan lebih banyak dialog antara syarikat penerbangan dengan lapangan terbang.
“Apabila kita melihat syarikat penerbangan dan lapangan terbang bekerjasama, hasilnya amat berkesan,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai rancangan Singapura untuk menyatukan operasi syarikat penerbangan negara, Singapore Airlines (SIA), dan syarikat penerbangan bajet miliknya, Scoot di Terminal 5, dan sama ada terdapat keperluan untuk memastikan keadilan bagi syarikat penerbangan lain, Encik Walsh berkata perkara tersebut berlaku di mana-mana hab penerbangan utama yang lain.
Menurut Encik Walsh, hab lapangan terbang yang berjaya, memerlukan prasarana dan juga syarikat penerbangan sebagai nadinya.
“Jika anda mempunyai pengendali hab utama, anda perlu menyediakan kemudahan yang sesuai untuk mereka,” jelas beliau.
Memandangkan pertumbuhan yang dijangkakan di rantau Asia yang lebih luas, Encik Walsh berkata terdapat juga permintaan mencukupi untuk menyokong kemunculan hab penerbangan serantau baru, sebagai tambahan kepada hab penerbangan sedia ada.
“Isu penting ialah anda perlu mempunyai rangkaian,” katanya sebagai menjawab soalan mengenai aspirasi Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan untuk menjadi sebuah hab penerbangan di Asia Timur.
“Apa yang sering berlaku di lapangan terbang ini ialah anda mendapat banyak perkhidmatan, tetapi tidak semestinya saling terhubung,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg