Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi akan membawa pelbagai peluang kepada kedua-dua perniagaan dan pencari kerja setempat, menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini termasuk kemahiran baru dalam bidang seperti sains data, robotik dan kemampanan.
Menyifatkan pembinaan T5 sebagai satu “projek kejuruteraan yang penting dan rumit”, Encik Wong berkata T5 akan menjadi sebuah terminal mega yang bijak, mampan dan terhubung.
Terminal mega itu, yang terletak dalam kawasan pembangunan Changi East seluas 1,080 hektar, adalah “sebesar semua terminal-terminal semasa kita yang digabungkan”.
Ia mempunyai kapasiti mengendali sekitar 50 juta pergerakan penumpang setahun dan dijangka dibuka menjelang pertengahan 2030-an.
T5 akan menampilkan tiga bahagian berbeza yang dihubungkan oleh sistem penggerak penumpang automatik (APM), yang seakan sky train yang ada hari ini, untuk membawa penumpang dari pintu ketibaan ke dewan imigresen, sekali gus mengurangkan jarak berjalan untuk mereka.
Sistem itu juga akan menghubungkan T5 dengan T2, mempermudahkan pergerakan penumpang ke terminal lain.
Apabila selesai dibina nanti, T5 juga akan menampilkan antaranya, sistem suria atas bumbung yang terbesar di Singapura.
“Pembinaan T5 merupakan projek kejuruteraan yang penting dan rumit dan perniagaan setempat kita akan berpeluang mengambil bahagian dalam proses ini.
“Dan apabila T5 beroperasi, akan terdapat lebih banyak permintaan bagi perkhidmatan dan pekerja, kedua-dua dalam lapangan terbang dan dalam industri lain yang akan tumbuh bersama dengannya,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah bagi terminal baru itu, yang diadakan di Changi East pada 14 Mei.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Changi Airport Group (CAG), Encik Yam Kum Weng.
Terminal baru itu akan memanfaatkan teknologi dan automasi dalam operasi lapangan terbangnya dalam usaha mempertingkat kecekapan dan pengalaman untuk penumpang, serta meningkatkan produktiviti.
Contohnya, robot bagasi akan diuji bagi operasi di terminal dan di bawah keadaan hujan dan kilat untuk memastikan bagasi penumpang dihantar tepat pada masanya.
Analitik video dan kecerdasan buatan (AI) pula akan digunakan untuk memantau kegiatan pesawat dan meramal kelewatan yang boleh berlaku dalam keberangkatan penerbangan.
T5 juga akan menggunakan sistem pengurusan bangunan bijak dengan sistem pendingin udara, pencahayaan pintar dan penyejukan hibrid yang menggunakan AI, selain dikuasai dengan tenaga lebih bersih.
“Pasukan kini sedang mengkaji kebolehlaksanaan memasang sistem suria di bumbungnya.
“Jika itu menjadi, ia akan menjadi antara sistem suria atas bumbung terbesar di Singapura,” kata Encik Wong.
Sistem suria itu akan mempunyai potensi menjana tenaga yang mencukupi untuk sekitar 20,000 flat empat bilik selama setahun.
Sebuah pusat pengangkutan darat juga akan disediakan untuk menyediakan pilihan teksi, MRT, bas dan khidmat pengangkutan lain kepada penumpang.
Khususnya, Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan dilanjutkan untuk menghubungkan T5 ke kawasan pusat bandar, manakala Laluan Rentas Pulau (CRL) juga dirancang untuk menghubungkan terminal itu dengan hab baru seperti Daerah Digital Punggol dan Daerah Tasik Jurong.
Dengan Terminal Feri Tanah Merah yang terletak berdekatan, Encik Wong berkata usaha juga boleh diterokai bagi pemindahan udara-laut ke destinasi di negara-negara jiran.
Konsep reka bentuk T5 pula mengambil ilham daripada gabungan unik alam semula jadi dan bandar Singapura, dengan menampilkan sekumpulan bumbung melengkung yang bertindih dengan ketinggian berbeza-beza.
Kelihatan seperti ‘daun bumbung’, ia membahagikan bangunan terminal itu menjadi ruang-ruang lebih kecil.
Sementara itu, terminal itu juga direka supaya ia dapat tahan cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim, seperti paras air laut yang meningkat.
Kawasan tanah khusus bagi pelepasan, pendaratan dan penyenggaraan pesawat atau airfield, dinaikkan kepada 5.5 meter di atas paras laut dan laluan pesawat atau taxiway akan dicerunkan untuk membolehkan air hujan mengalir keluar.
Antara lain, dengan mengambil pengajaran daripada Covid-19, terminal itu akan mempunyai fleksibiliti beroperasi sebagai subterminal lebih kecil jika diperlukan, dengan ruang boleh diubah bagi menangani hal luar jangka, seperti operasi ujian kesihatan atau pengasingan penumpang berisiko tinggi.
Encik Yam, dalam ucapannya di majlis pecah tanah itu berkata skala T5 menimbulkan cabaran yang tidak pernah dilihat di terminal-terminal lain yang ada sekarang.
“Kami perlu memastikan penumpang kita tidak gentar dengan saiz terminal, sama ada dalam bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain atau mencari arah.
“Pengalaman ini boleh menjadi sangat menakutkan bagi penumpang warga emas dan individu dengan masalah pergerakan.
“Oleh itu, visi kami adalah untuk mereka sebuah terminal yang mega, namun selesa.
“Sebuah terminal yang mendakap DNA Changi: khusus pelanggan, bebas tekanan dan memberi kejutan secara positif,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg