Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: Sektor penerbangan kekal cerah bagi S’pura

Meski ketidaktentuan sejagat, S’pura catat rekod 68.4j pergerakan penumpang, 2j tan kargo pada 2024
May 7, 2025 | 7:56 PM
chee hong tat, cag, Pusat Latihan Asia Airbus
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (tengah), mencuba simulator pesawat A350 semasa melawat Pusat Latihan Asia Airbus pada 7 Mei sambil ditemani Presiden Asia Pasifik Airbus, Encik Anand Stanley (kiri) dan Timbalan Pengurus Besar dan Ketua Latihan, Kapten Sunny Sum. - Foto ST

Pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat terhadap pasaran sejagat baru-baru ini mungkin memberi kesan kepada sektor penerbangan Singapura kerana ia boleh menjejas pengaturan perdagangan bebas, pergerakan kargo dan aliran modal yang dibuat sebelum ini.

Namun, sektor itu kekal cerah di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat dan terus membuka peluang kepada Singapura, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Ini setelah Singapura mencatatkan rekod 68.4 juta pergerakan penumpang pada 2024, melebihi paras yang dicatatkan sebelum pandemik, dan hampir dua juta tan kargo pada 2024 – lonjakan 11 peratus berbanding 2023 – berdasarkan perangkaan oleh Changi Airport Group (CAG) pada April.

Ini di samping sekitar 36,000 kakitangan yang bekerja dalam sektor itu meliputi syarikat seperti CAG dan syarikat penerbangan Singapore Airlines, kata Encik Chee.

“Kita lihat momentum yang baik, dan sungguhpun dengan persekitaran sejagat yang bergejolak dan tidak menentu… industri penerbangan di Singapura, Hab Udara Changi, kekal sebagai titik terang yang kami dapat (terus) manfaatkan dan mengorak langkah lebih jauh,” ujar Encik Chee.

Ini sekali gus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai jenama dipercayai bagi hab udara sejagat, tambahnya.

Beliau berkongsi demikian kepada pihak media selepas merasmikan pameran helikopter, BO105, milik Airbus Helicopters di Pusat Latihan Asia Airbus di Seletar pada 7 Mei.

Helikopter, BO105, yang tidak diguna lagi itu dipaparkan bagi meraikan warisan Airbus dalam inovasi teknologi helikopter dan membangunkan karyawan penerbangan di rantau ini.

Di acara tersebut, Encik Chee dibawa meninjau pusat latihan itu bersama pihak pengurusan kanan Airbus bagi Asia-Pasifik dan sejagat.

Menyentuh perkembangan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi, beliau berkata satu majlis pecah tanah akan diadakan minggu hadapan.

Ini memandangkan dua kontrak untuk kerja-kerja asas dan prasarana kawasan luar kawalan pasport dan kastam di T5 bernilai $4.75 bilion telah dianugerahkan kepada tiga syarikat, menukil CAG dalam satu kenyataan pada 5 Mei.

Sementara itu, beliau berkata pemerintah akan berbincang dengan rakan industri, termasuk Airbus dan syarikat lain, tentang bagaimana peruntukan $1 bilion bagi Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dapat digunakan untuk menyokong pertumbuhan sektor penerbangan Singapura.

Peruntukan itu – kali pertama diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Mac – meliputi ketersambungan, prasarana, inovasi dan teknologi, serta tenaga kerja.

Sektor penerbangan adalah salah satu sektor yang sedang disemak di bawah Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura – di samping sektor maritim, rantaian bekalan dan logistik – untuk pertumbuhan selanjutnya dan peluang bagi masa hadapan, tambah Encik Chee.

Encik Chee mengetuai bersama aliran kerja bagi membangunkan strategi jangka sederhana hingga lebih lama untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi Singapura bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Sebagai sebahagian daripada strategi itu, beliau berkata sektor penerbangan Singapura dapat menyokong negara serantau.

Ini sedang pertumbuhan penerbangan sejagat meningkatkan permintaan bagi latihan, Singapura ingin menyediakan kapasiti latihan bukan sahaja untuk keperluannya sendiri, bahkan untuk menyokong rantau ini, katanya.

Beliau menambah sementara kajian tenaga kerja sedang diusahakan dan akan diumumkan CAAS dalam masa terdekat, beliau memberi gambaran industri perlu menggunakan teknologi dan mereka semula pekerjaan bagi meningkatkan produktiviti, terutama apabila usia tenaga kerja semakin menua.

Sungguhpun akur keadaan menjadi lebih mencabar, Singapura tidak seharusnya bersifat terlalu pesimis, tambahnya.

“Kita (Singapura) sememangnya mempunyai nilai yang boleh ditampilkan, manfaatkan kekuatan kita – iaitu keupayaan kita merancang bagi jangka panjang, persekitaran yang mesra perniagaan dan stabil, penjenamaan yang boleh dipercayai, perkongsian tiga pihak yang kukuh,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg