Singapore Post mencatatkan penurunan 12.8 peratus dalam keuntungan bersihnya bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September, menurut penyata yang difailkan kepada Bursa Singapura pada 10 November.
Keuntungan bersih merosot kepada $19.7 juta berbanding $22.6 juta pada tempoh yang sama tahun 2024.
Ini berlaku ketika pendapatan syarikat menyusut 27.4 peratus tahun ke tahun kepada $188.4 juta, berbanding $259.6 juta sebelumnya.
“Kemerosotan ini menggambarkan persekitaran operasi yang mencabar bagi perniagaan logistik, terutamanya dalam jumlah penghantaran e-dagang rentas sempadan,” menurut kenyataan SingPost.
Kemerosotan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan kekurangan sumbangan daripada perniagaan Australia miliknya yang telah dijual.
Ini mengimbangi keuntungan luar biasa daripada penjualan aset lain dalam keputusan kewangan separuh pertama syarikat, kata SingPost.
Operasi yang telah dihentikan termasuk perniagaan logistik Australia di bawah SingPost Australia Investments dan anak syarikatnya, serta perniagaan penghantaran barangan Famous Holdings, Rotterdam Harbour Holdings dan anak syarikat Quantium Solutions.
Namun, SingPost turut menekankan usaha mereka untuk menstruktur semula operasi selepas penjualan aset serta pengawalan kos dapat dilihat dalam pengurangan perbelanjaan operasi, yang menurun 25.5 peratus tahun ke tahun kepada $182.4 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost, Encik Mark Chong, yang memegang peranan itu sejak 1 November, berkata:
“Prestasi separuh pertama kami mencerminkan kesan penuh daripada penstrukturan semula perniagaan kami.”
“Pasukan ini telah memulakan separuh pertama dengan baik, meskipun sektor logistik dan e-dagang sejagat masih lemah.
“Kami akan terus melabur dalam prasarana untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, sambil menguruskan kos operasi kami,” tambah kenyataan itu.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.08 sen sesaham biasa bagi separuh tahun yang berakhir pada 30 September.
Dividen itu akan dibayar pada 5 Disember, lapor The Business Times (BT).
Mulai 1 April, SingPost telah menyusun semula perniagaannya kepada tiga segmen utama, iaitu: logistik dan surat, rangkaian pejabat pos, serta aset hartanah.
Segmen logistik dan surat, yang merangkumi perkhidmatan surat dan bungkusan domestik serta antarabangsa, termasuk logistik e-dagang, mencatatkan keuntungan menyusut 33.1 peratus tahun ke tahun kepada $153.5 juta.
Menurut SingPost, ia disebabkan penurunan 63 peratus dalam jumlah penghantaran e-dagang rentas sempadan.
Segmen rangkaian pejabat pos, yang menjana keuntungan daripada perkhidmatan agensi dan jualan produk, turut mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 13.9 peratus.
“Penurunan ini terutamanya disebabkan keuntungan yang lebih rendah daripada perkhidmatan agensi, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan sewa ruang pejabat pos,” kata SingPost.
Namun, segmen ini berjaya mengurangkan kerugian operasi kepada $5.8 juta, berbanding kerugian $6.7 juta pada tempoh sebelumnya, hasil daripada penutupan beberapa pejabat pos.
Sementara itu, segmen aset hartanah mencatatkan peningkatan 3.4 peratus kepada $40.6 juta, dipacu oleh peningkatan pendapatan sewa daripada SingPost Centre.
Kadar penghunian keseluruhan di SingPost Centre juga meningkat, iaitu 99.2 peratus pada 30 September.
Harga saham SingPost jatuh 1.19 peratus, atau setengah sen, kepada 42 sen pada 3 petang, 10 November selepas pengumuman keputusan kewangan syarikat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg