Penduduk yang tinggal di 226 blok dalam lima estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura tidak lama lagi boleh mengirim dan mengembalikan surat melalui peti surat di kolong blok mereka.
Ini berikutan pelancaran satu inisiatif perintis SingPost untuk membawa khidmat pos lebih dekat kepada orang ramai.
Dipanggil SingPost@MyBlock, inisiatif tersebut dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, pada 19 Oktober, meliputi 27 blok di kawasan Punggol Northshore.
Khidmat itu akan diperluaskan ke blok-blok di Marine Parade, Upper Boon Keng, Bukit Panjang dan Bukit Batok menjelang hujung Oktober 2025.
Slot khusus atau peti tambahan akan ditandakan dengan jelas bagi penduduk mengirimkan ataupun mengembalikan surat, bolehkan penduduk menghantar surat dengan mudah di estet sendiri.
Jika berjaya, inisiatif ini akan dilancarkan serata negara mulai 2026, meliputi sekitar 21,000 peti surat di estet kediaman.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SingPost, Cik Neo Su Yin, berkata SingPost memanfaatkan setiap tempat khidmat pos yang mereka ada – daripada peti surat di estet kejiranan hingga ke memperluaskan kerjasama mereka – untuk memenuhi kedua-dua permintaan sektor pos dan pasaran e-dagang yang semakin berkembang.
“Dengan merintis SingPost@MyBlock, kami mempertingkat kemudahan masyarakat, dan melalui kerjasama strategik kami, kami membina rangkaian tangkas yang menyediakan kemudahan lebih luas untuk pelanggan.
“Pendekatan padu ini memastikan kami berusaha untuk mengembangkan kedudukan kami sebagai penyedia logistik dari mula hingga akhir nasional terkemuka Singapura,” kata beliau.
SingPost turut mengumumkan bahawa ia akan memperluaskan keupayaan e-dagangnya dengan menyepadukan rangkaian lokar Pick Network Pte Ltd (Pick) ke dalam prasarana proses penghantaran SingPost.
Lokar Pick menyediakan akses 24 jam setiap hari bagi pengambilan kiriman penghantaran.
Ini akan melibatkan 1,084 lokar Pick, yang terletak di estet HDB, pusat masyarakat, hab pengangkutan dan lokasi lain.
Penyepaduan itu akan melengkapi rangkaian kios POPDrop – mesin automatik yang membolehkan kiriman barangan dihantar pada bila-bila masa – dan lokar Parcel Santa SingPost – khidmat lokar bijak di kondominium – yang sedia ada.
Rangkaian diperluas itu akan menjadikan ia lebih mudah bagi penjual e-dagang menghantar barangan dan bagi pembeli mengambilnya di lokasi yang dekat dengan mereka.
SingPost berkata ini akan memberi manfaat kepada pelanggan yang berbelanja di platform e-dagang utama dan penjual di ‘marketplace’, dengan menyediakan mereka fleksibiliti dan kemudahan penghantaran dipertingkat semasa proses pembayaran.
Platform e-dagang, Lazada, telah mengambil bahagian dalam rangkaian itu. Ini bermakna mereka yang berbelanja di platform itu boleh memilih bagi barangan mereka dihantar ke lokar Pick pilihan mereka.
Ketua Pegawai Logistik Lazada Group, Encik James Liu, berkata pihaknya gembira bekerjasama dengan SingPost dalam menyepadukan rangkaian Pick Locker – satu langkah bermakna ke arah menawarkan pembeli pilihan penghantaran yang lebih fleksibel dan mudah.
“Dengan membolehkan pelanggan memilih Pick Locker sebagai pilihan penghantaran semasa di proses pembayaran, kami membolehkan mereka memilih bagaimana dan bila mereka menerima barangan mereka.
“Langkah mempertingkat kemudahan penghantaran adalah bahagian penting dalam komitmen Lazada untuk mewujudkan pengalaman e-dagang yang lancar dan boleh dipercayai bagi pelanggan kami,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg