Keuntungan bersih UOB jatuh, beri bonus setengah bulan gaji

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keuntungan bersih UOB jatuh, beri bonus setengah bulan gaji

Feb 24, 2026 | 6:38 PM

Keuntungan bersih UOB jatuh, beri bonus setengah bulan gaji

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
uob, keuntungan bersih
Harga saham UOB mencatat penurunan selepas pengumuman itu. Ia merosot 4.12 peratus atau $1.60 kepada $37.20 pada sekitar 5 petang. - Foto fail

UOB akan memberikan bayaran tambahan bersamaan setengah bulan gaji asas kepada kakitangan berpangkat rendah sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam persekitaran yang penuh cabaran.

Sekitar 6,000 pekerja dalam kumpulan bank itu dijangka menikmati bayaran sekali ini.

Jumlah bayaran yang dianggarkan sekitar $4 juta itu akan diagihkan pada suku kedua 2026.

Demikian menurut laporan kewangan UOB pada 24 Februari.

Bank itu turut mencadangkan dividen akhir sebanyak 71 sen bagi setiap saham biasa – merosot 23 peratus berbanding 92 sen pada 2024 – menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi 2025 sebanyak $1.56.

Bagi 2024, jumlah keseluruhan dividen, termasuk dividen khas sebanyak 50 sen, ialah $2.30.

Keputusan itu diumumkan selepas UOB mencatat penurunan 7 peratus keuntungan bersih suku keempat 2025, seiring dengan pendapatan faedah bersih yang sederhana akibat tekanan margin.

Keuntungan suku keempat 2025 berakhir pada Disember adalah $1.41 bilion, turun berbanding $1.52 bilion pada suku keempat 2024.

Harga saham UOB merosot selepas pengumuman tersebut, jatuh 4.05 peratus atau $1.57 kepada $37.23 pada sekitar 1.10 petang.

Pada suku keempat 2025, margin faedah bersih (NIM) UOB – satu penanda aras utama bagi kadar keuntungan – menyusut kepada 1.84 peratus berbanding 2 peratus pada suku keempat 2024.

Pendapatan faedah bersih menurun kepada $2.35 bilion daripada $2.45 bilion pada tahun sebelumnya.

UOB menyatakan, pendapatan yuran bersih suku keempat mencatat pertumbuhan menyeluruh sebanyak 10 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, pendapatan bukan faedah lain jatuh 28 peratus berikutan penurunan pendapatan perdagangan dan pelaburan.

Jumlah perbelanjaan turun 3 peratus hasil pengurusan perbelanjaan tersusun, manakala jumlah peruntukan berkurang separuh disebabkan peruntukan khusus lebih rendah.

Kos kredit keseluruhan kembali kepada kadar biasa pada suku keempat, menurun kepada 19 mata asas daripada 134 mata asas pada suku ketiga.

UOB mencatat keuntungan bersih $4.7 bilion pada 2025, turun 23 peratus daripada $6.05 bilion yang dicatatkan pada 2024.

UOB menjelaskan, penurunan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan peruntukan umum awal yang ditetapkan kumpulan itu pada suku ketiga bagi mengukuhkan perlindungan peruntukan berikutan peningkatan dalam ketidaktentuan makroekonomi.

Peruntukan bagi kredit dan kerugian lain meningkat lebih empat kali ganda pada suku tersebut, mencecah $1.36 bilion.

NIM bagi 2025 merosot kepada 1.89 peratus daripada 2.03 peratus pada 2024.

Pendapatan faedah bersih juga turun 3 peratus kepada $9.36 bilion.

Naib Pengerusi yang juga Ketua Eksekutif UOB, Encik Wee Ee Cheong, berkata dalam satu kenyataan:

“Kumpulan kami telah mencatat prestasi tahunan yang kukuh, disokong oleh momentum yuran yang tinggi merentasi rangkaian perniagaan kami yang pelbagai.

“Kunci kira-kira (balance sheet) kami kuat, dengan modal dan kecairan yang mantap serta mutu aset yang stabil.”

Beliau menambah bahawa prospek pertumbuhan Asean kekal kukuh dan kumpulan itu sedang menyaksikan rentak stabil merentasi semua segmen perniagaannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg