Permintaan emas melonjak, UOB beralih kepada janji temu sahaja
Permintaan emas melonjak, UOB beralih kepada janji temu sahaja
UOB akan memperkenalkan beberapa langkah baru di kaunter emas cawangan utamanya bermula 13 Februari.
Menyusuli peningkatan mendadak permintaan daripada pelanggan, bank itu akan beralih kepada sistem janji temu sahaja bagi pembelian dan penukaran emas fizikal.
Demikian menurut satu pengumuman UOB pada 9 Februari.
Pelanggan tanpa janji temu tidak lagi akan diterima untuk membeli emas atau menukar Akaun Simpanan Emas (GSA) kepada emas fizikal.
Langkah itu bertujuan memendekkan masa menunggu dan memberikan pengalaman lebih lancar kepada pelanggan yang ingin mendapatkan jongkong emas.
Bagi menguruskan lonjakan pembeli, UOB akan menyelaraskan operasi di cawangan utamanya di 80 Raffles Place, termasuk menukar waktu operasi.
Waktu pembelian emas akan dipanjangkan satu setengah jam; kaunter emas kini dibuka dari 9.30 pagi hingga 6 petang (sebelum ini 4.30 petang), Isnin hingga Jumaat.
Pelanggan yang ingin membeli emas fizikal atau menukar pegangan GSA kepada fizikal perlu menempah slot melalui laman web UOB, dibuka pada 6 petang setiap Khamis.
Pembelian emas fizikal secara dalam talian boleh diambil bermula hari bekerja berikutnya, dan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas tarikh pembelian.
Mulai 13 Februari, pelanggan yang membeli emas fizikal dalam talian perlu membuat janji temu melalui laman web UOB untuk pengambilan.
Pelanggan yang menjual emas kembali kepada bank tidak memerlukan janji temu.
Urus niaga itu akan dikendalikan dalam waktu operasi asal, iaitu dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja.
Keputusan tersebut dibuat menyusuli peningkatan minat mendadak terhadap logam berharga itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
UOB turut menasihatkan pelanggan supaya menyemak ketersediaan produk emas tertentu di laman webnya sebelum mengunjungi cawangan atau membuat janji temu.

