Saham bank Singapura melonjak pada 7 Januari, mendorong Indeks Straits Times (STI) mencatatkan rekod paras tertinggi.
Saham DBS, bank terbesar di Asia Tenggara mengikut aset, mencapai harga $58 buat pertama kali pada dagangan pagi, bahkan setinggi $58.80.
Saham itu berakhir pada paras penutup tertinggi baru $58.40, naik 0.8 peratus atau 47 sen.
Saham OCBC naik setinggi $20.25 pada 7 Januari setelah melepasi paras $20 buat kali pertama sehari sebelumnya, sebelum turun 0.6 atau 12 sen berbanding paras rekod $20.18 pada hari sebelumnya, ke paras penutup $20.06.
Saham UOB naik 0.6 peratus kepada $36.14 sebelum mengurangkan kenaikan kepada $36.02, 0.3 peratus lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya, lapor The Straits Times (ST).
Meskipun meningkat dalam kenaikan mingguan, harga saham itu masih jauh daripada penutupan tertinggi sepanjang masa iaitu $38.67 pada Mac 2025.
Bank tempatan, syarikat utama dalam STI, telah melonjakkan indeks itu ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu 4,747.62 pada 7 Januari.
Saham DBS telah meningkat lebih 30 peratus dalam 12 bulan terakhir, manakala OCBC meningkat sekitar 19 peratus. UOB, yang keuntungan suku tahunan ketiganya merosot 72 peratus selepas meningkatkan peruntukan sebanyak $1 bilion, turun lebih 3 peratus dalam tempoh yang sama.
Pengarah penyelidikan ekuiti Asia di Morningstar, Cik Lorraine Tan, berkata dengan kadar faedah dijangka menurun, syarikat bermutu dengan dividen menarik kini dilihat sebagai proksi untuk memegang bon pemerintah Singapura.
“Walaupun harga saham DBS dan OCBC agak tinggi, hasil dividen sekitar 5 peratus kini amat menarik,” kata Cik Tan, sambil menambah, kedua-dua bank masih boleh terus membeli balik saham walaupun dividen kekal sama.
“Ini boleh menyokong pertumbuhan dividen selagi keuntungan stabil. Namun, dari segi risiko dan ganjaran, UOB kini kelihatan lebih menarik, dengan hasil dividen dijangka 5.8% berdasarkan harga penutupan $35.50 pada 5 Januari,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg