Grab yang tersenarai di Nasdaq, pada 20 Februari, mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$27 juta ($36.2 juta) untuk suku keempat yang berakhir pada Disember, turun daripada AS$35 juta pada tempoh yang sama pada 2023.
Pendapatan itu melebihi jangkaan keuntungan AS$10.3 juta dalam satu tinjauan Bloomberg, yang melibatkan lapan penganalisis.
Pendapatan bagi tempoh tiga bulan adalah AS$764 juta, meningkat 17 peratus berbanding tahun lalu (2024) dari AS$653 juta, didorong oleh pertumbuhan di semua segmen, kata Grab. Ia memenuhi jangkaan AS$757.8 juta dalam tinjauan yang dilakukan 17 penganalisis Bloomberg.
Pendapatan setiap saham adalah AS$0.01, tidak berubah daripada tempoh yang sama sebelumnya, lapor The Business Times.
Pendapatan diselaraskan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) kumpulan adalah AS$97 juta untuk suku tersebut, meningkat daripada AS$35 juta pada tempoh yang sama pada 2023.
Peningkatan Ebitda disebabkan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) Grab, serta “peningkatan keuntungan dalam segmen tertentu dan pengurangan kos korporat serantau”, kata syarikat tersebut.
Kos korporat serantau merangkumi perbelanjaan yang tidak dikaitkan dengan segmen perniagaan seperti kos awan dan pemasaran. Kos korporat untuk suku keempat ini adalah AS$87 juta, berbanding AS$100 juta pada 2023.
GMV atas permintaan, termasuk mobiliti dan penghantaran, untuk suku ini meningkat 20 peratus kepada AS$5 bilion, berbanding AS$4.2 bilion sebelum ini, didorong pertumbuhan pengguna dan transaksi bulanan.
Aliran tunai bebas yang diselaras untuk tiga bulan adalah AS$61 juta, meningkat dari AS$1 juta pada 2023.
Bagi keseluruhan tahun, kerugian syarikat jatuh kepada AS$105 juta daripada AS$434 juta pada 2023. Pendapatan meningkat daripada AS$2.4 bilion kepada AS$2.8 bilion.
Grab mengutamakan pemulangan kepada pemegang saham dengan modal berlebihan, dan pengambil alihan hanya akan dilakukan jika memenuhi syarat, kata Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Grab, Encik Peter Oey. Syarikat itu tidak menafikan khabar angin mengenai pengambilalihan GoTo di Indonesia.
Deposit pelanggan di bank digital Grab di Singapura dan Malaysia mencapai AS$1.2 bilion pada akhir suku keempat 2024, naik daripada AS$1.1 bilion pada suku ketiga. Bank GXS kini mempunyai 172,000 pengguna, manakala GX Bank melepasi sejuta pengguna.
Portfolio pinjaman Grab naik 64 peratus pada suku keempat 2024 kepada AS$536 juta, daripada AS$326 juta suku keempat 2023, didorong produk pinjaman runcit GX Bank Malaysia.
Syarikat ini juga sedang memperkukuh rizabnya dengan pertumbuhan pinjaman dan model kredit yang semakin baik. Pinjaman dijangka membawa keuntungan dalam perkhidmatan kewangan.
Grab meramalkan pendapatan bagi tahun kewangan (FY) 2025, antara AS$3.3 bilion hingga AS$3.4 bilion, mencatatkan pertumbuhan 19 hingga 22 peratus berbanding FY2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg