Sesetengah pengguna Grab terkejut apabila menyedari satu ciri rakaman audio keselamatan akan diaktifkan secara automatik sebaik mereka memasuki kenderaan, dan mereka mendakwa tidak menerima sebarang pemberitahuan mengenainya.
Namun, Grab memberitahu The Straits Times (ST) pada 11 Februari bahawa mereka telah memaklumkan pengguna mengenai perubahan ini, di mana ciri rakaman suara, AudioProtect, akan diaktifkan secara automatik.
Syarikat itu berkata pengguna sepatutnya telah menerima mesej dalam aplikasi dan notifikasi selama sebulan selepas menempah perjalanan pertama.
AudioProtect berfungsi sebagai langkah keselamatan untuk pengguna dan pemandu semasa perjalanan kerana rakaman itu boleh digunakan untuk menyelesaikan isu yang timbul dengan lebih efisien.
Bermula Oktober 2023, logo mikrofon akan muncul dalam aplikasi semasa setiap perjalanan apabila ciri ini diaktifkan.
Ini merupakan peringkat kedua ujian yang dijalankan oleh Grab dengan kelulusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), yang bermula pada 29 November 2024 dan akan berakhir pada 28 Mei 2025.
Pada peringkat pertama ujian, dari 20 Mac hingga 20 September 2023, AudioProtect ditawarkan secara pilihan, di mana pengguna perlu memberi persetujuan melalui pop-up dalam aplikasi.
Menurut Grab, hampir 70 peratus pengguna melaporkan rasa lebih selamat semasa perjalanan apabila AudioProtect diaktifkan.
Pada peringkat pertama, AudioProtect ditawarkan secara sukarela untuk memberi masa kepada pengguna memahami ciri baru ini.
Pada peringkat kedua, ia diaktifkan secara automatik untuk semua pengguna, dengan tujuan agar lebih ramai dapat memanfaatkan ciri keselamatan ini.
Seorang pakar perlindungan data menghubungi Perlindungan Data Peribadi (PDPC) pada Januari kerana bimbang tentang AudioProtect yang diaktifkan secara automatik.
Sembilan daripada 10 pengguna Grab berkata mereka tidak ingat menerima notifikasi mengenainya dan lapan daripadanya tidak selesa dengan hal ini.
Beliau berpendapat ia tidak sesuai kerana orang sering membuat panggilan peribadi yang mungkin mendedahkan maklumat sensitif dan menambah ikon mikrofon yang menunjukkan AudioProtect diaktifkan terlalu kecil untuk dilihat oleh pengguna biasa.
Seorang peguam, Cik Kelly-Ann Semper, juga bersetuju sambil menambah bahawa pemberitahuan dan ikon ini memerlukan perhatian dan kemahiran teknologi yang tinggi dari pengguna Grab.
Namun, Encik Jordan Neo, 33 tahun, setuju AudioProtect diaktifkan secara automatik demi keselamatan penumpang dan pemandu.
LTA akan luluskan perubahan ini dengan dua syarat. Grab mesti memaklumkan kepada pengguna tentang AudioProtect yang diaktifkan secara automatik pada setiap perjalanan, dan memaklumkan pengguna setiap kali ia diaktifkan.
Bermula 3 Februari, Grab mula menghantar notifikasi itu bagi setiap perjalanan.
Grab berkata, pada minggu sebelum 29 November 2024, informasi mengenai perubahan AudioProtect dipaparkan di laman utama aplikasi.
Semua rakaman audio disimpan dengan selamat pada peranti pengguna. Rakaman hanya boleh diakses jika laporan keselamatan dibuat, dan akan dipadamkan dalam masa lima hari jika tiada laporan dibuat.
Peguam berkata, organisasi boleh mengumpul data tanpa persetujuan jelas selagi memenuhi kewajipan undang-undang tertentu.
Encik Ronald Wong, timbalan pengarah urusan firma guaman Covenant Chambers yang pakar dalam teknologi dan harta intelek, berkata pengguna boleh dianggap telah memberi persetujuan melalui notifikasi, kecuali jika mereka memberitahu organisasi tentang penolakan dalam tempoh tertentu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg