Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Loji cip $9.5b Micron bolehkan S’pura bertapak di ruang AI, wujud hingga 3,000 pekerjaan

Jan 8, 2025 | 4:42 PM
Syarikat Micron Technology merasmikan pecah tanah bagi satu kemudahan pembungkusan lanjutan memori lebar jalur tinggi (HBM) pada 8 Januari di Singapura. Antara yang hadir dalam acara tersebut ialah Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron bagi Singapura, Encik Chen Kok Sing (dua dari kiri); Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (enam dari kiri); dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Micron, Encik Sanjay Mehrotra (enam dari kanan).
Syarikat Micron Technology merasmikan pecah tanah bagi satu kemudahan pembungkusan lanjutan memori lebar jalur tinggi (HBM) pada 8 Januari di Singapura. Antara yang hadir dalam acara tersebut ialah Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron bagi Singapura, Encik Chen Kok Sing (dua dari kiri); Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (enam dari kiri); dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Micron, Encik Sanjay Mehrotra (enam dari kanan). - Foto LIANHE ZAOBAO

Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Micron Technology, telah mengadakan acara pecah tanah untuk membina kilang pertama Singapura yang akan menghasilkan semikonduktor termaju yang penting untuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Kemudahan pembungkusan memori lebar jalur tinggi (HBM) bernilai AS$7 bilion ($9.5 bilion) di Woodlands itu pada mulanya akan mewujudkan kira-kira 1,400 pekerjaan baru dan mungkin mencapai sehingga 3,000 jawatan apabila rancangan pengembangannya dilaksanakan, kata Ketua Eksekutif dan Presiden syarikat itu, Encik Sanjay Mehrotra.

Operasi dijadualkan bermula pada 2026 dengan pengembangan kapasiti pembungkusan bermula pada 2027, lapor The Straits Times.

Syarikat itu telah menggajikan kira-kira 9,000 orang di Singapura.

Cip HBM dibuat dengan menyusun beberapa lapisan cip memori bertindan di atas satu sama lain untuk menghasilkan satu cip yang dapat menyimpan lebih banyak data sambil mempercepatkan pemprosesan dan menggunakan kuasa yang kurang.

Cip-cip itu membolehkan kad grafik dan pemecut yang dibuat oleh syarikat seperti Nvidia dan AMD untuk memproses beban kerja AI generatif di pusat data.

“Permintaan untuk AI semakin meningkat, dan keperluan untuk memori dan penyimpanan amat kritikal sekarang,” kata Encik Mehrotra pada majlis pecah tanah pada 8 Januari.

Beliau menambah bahawa pasaran HBM akan berkembang dengan ketaranya – daripada sekitar AS$4 bilion pada 2023 kepada lebih AS$100 bilion menjelang 2030.

“Pertumbuhan teguh ini menggariskan peranan penting yang dimainkan oleh teknologi memori maju dalam memacu AI,” katanya.

Encik Mehrotra menambah bahawa pelaburan HBM juga akan menjadi enjin penting untuk inovasi di Singapura, mengukuhkan ekosistem semikonduktor tempatan dan membantu membangunkan bakat.

Encik Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata di majlis itu bahawa kilang HBM Micron akan membolehkan Singapura bertapak dalam ruang AI yang berkembang pesat.

“Ketika kami melakarkan fasa seterusnya pembangunan ekonomi Singapura, kami berharap dapat memperdalam perkongsian kami dengan syarikat seperti Micron untuk mengembangkan ekonomi yang diterajui inovasi,” katanya.

Encik Gan juga menyentuh mengenai ketegangan perdagangan dan persaingan teknologi antara dua ekonomi terbesar dunia – Amerika Syarikat dan China.

“Di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin sengit, semikonduktor telah tertakluk kepada pelbagai halangan perdagangan dan pelaburan; ini termasuk kawalan eksport dan saringan pelaburan keluar.

“Peraturan dan sekatan sedemikian mempunyai kesan yang ketara bukan sahaja pada pengeluaran dan rantaian bekalan sedia ada untuk perusahaan semikonduktor tetapi juga pelaburan masa depan, terutamanya dalam pembangunan teknologi dan inovasi baru,” kata beliau.

Bagaimanapun, Encik Gan berkata cadangan nilai Singapura terletak pada asasnya yang kukuh dan berkekalan, termasuk sekumpulan bakat mahir, keupayaan inovasi dan penyelidikan, serta persekitaran pro-perniagaan.

Beliau berkata Micron juga telah menjalin perkongsian kukuh dengan institusi pendidikan Singapura, termasuk Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan lima politeknik.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan membantu Micron membina saluran bakat yang lebih kukuh tetapi juga membuka lebih banyak peluang kerjaya untuk pelajar kami di semua peringkat,” katanya.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara Micron bagi Singapura, Encik Chen Kok Sing, berkata syarikat itu telah melabur lebih AS$30 bilion, termasuk mewujudkan tapak penghasilan wafer cip ‘greenfield’ (merujuk kepada penggunaan tapak yang belum pernah dibangunkan sebelum ini) dan mengembangkan kemudahan sedia ada, sejak ia ditubuhkan di sini pada 1998.

Para pakar melihat Singapura sebagai nod kritikal dalam rantaian bekalan semikonduktor, menyumbang satu daripada 10 cip dan satu daripada lima peralatan semikonduktor yang dihasilkan secara global.

Singapura telah menarik penyelidikan dan pembangunan bernilai kira-kira $18 bilion, dan pelaburan pembuatan sejak dua tahun lalu, menurut Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg