Syarikat kimia Jerman, Evonik, telah membuka kemudahan pengeluaran alkoksida atau alkoxide di Pulau Jurong yang akan merintis laluan bagi kemudahan menghasilkan kimia lebih mampan di rantau ini.
Kilang yang menelan belanja AS$60 juta ($77.4 juta) itu adalah kilang keempat syarikat tersebut di serata dunia dan yang pertama di Asia.
Ia menjadi tambahan kepada rangkaian pengeluaran Evonik di samping kemudahan di Amerika Syarikat, Jerman dan Argentina, lapor The Straits Times (ST).
Alkoksida, juga dikenali sebagai sodium methylate, adalah sebatian kimia yang digunakan sebagai pemangkin dalam pengeluaran biodiesel menggunakan minyak sayuran.
Ia juga merupakan komponen penting dalam perusahaan farmaseutikal dan pertanian.
Kilang di Singapura itu, yang dibuka pada 27 Ogos, akan memberi tumpuan kepada pengeluaran untuk pasaran Asean, dengan Indonesia dan Malaysia sebagai pengeluar utama biodiesel.
Sedang kilang alkoksida Evonik yang lain memerlukan gabungan wap dan elektrik untuk beroperasi, kemudahan di Singapura itu adalah yang pertama beroperasi sepenuhnya menggunakan elektrik.
Ini membolehkan kilang tersebut beralih kepada tenaga hijau dan mencapai pelepasan karbon bersih sifar Skop 1 dan 2, mengikut Protokol Gas Rumah Hijau.
Syarikat itu turut menjangka kilang alkoksida tersebut akan memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mengitar semula kimia plastik PET (polyethylene terephthalate).
Ketua Pegawai Operasi Evonik, Cik Lauren Kjeldsen, pada 27 Ogos berkata:
“Kemudahan ini bukan sekadar pengembangan, tetapi komitmen jangka panjang kami kepada Asia.
“Dengan pengeluaran yang lebih dekat kepada pelanggan, kami tingkatkan keselamatan bekalan dan menyokong visi Singapura bagi industri kimia mampan.”
Syarikat itu sudah mempunyai dua kilang lain di Pulau Jurong dan dua lagi di Tuas.
Presiden Serantau Evonik, Encik Claus Rettig, berkata walaupun kebanyakan permintaan alkoksida di rantau ini datang dari negara jiran, syarikat itu masih menganggap Singapura sebagai lokasi paling sesuai untuk kilang baru itu.
Beliau menyebut ekosistem yang sudah dibina Evonik di negara ini sebagai faktor utama, disokong oleh kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh.
Beliau menambah, kilang itu akan mengurangkan kebergantungan Asia Tenggara terhadap China dan Arab Saudi untuk import alkoksida.
Dr Rettig menyatakan bahawa Singapura memberikan tawaran yang “tiada tandingan” dengan tenaga kerja yang sangat mahir.
Kilang itu dikendalikan oleh hanya 13 orang di bilik kawalan berasingan.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, ketika majlis pembukaan kilang itu berkata bahan kimia khas bernilai tinggi seperti alkoksida menyumbang kira-kira $5 bilion atau satu per lima daripada industri tenaga dan kimia, yang merupakan sektor pengilangan kedua terbesar di Singapura.
Kilang terbaru Evonik itu, bersama pelaburan daripada syarikat utama lain, memastikan rancangan pemerintah untuk mengubah Pulau Jurong menjadi taman tenaga dan kimia mampan, berada di landasan yang betul, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg