BENGALURU (India): Konglomerat Indonesia, Chandra Asri Pacific, berkata pada 17 November ia telah memperoleh pakej pembiayaan khas bernilai AS$750 juta ($974 juta) daripada firma pelaburan KKR bagi menyokong pembelian rangkaian stesen minyak Esso milik ExxonMobil di Singapura.
Dalam pengumuman pada 24 Oktober, konglomerat itu berkata ia merancang mengekalkan jenama Esso, terus mendapatkan bekalan bahan api daripada ExxonMobil, dan menyepadukan tenaga kerja sedia ada di dalam operasi syarikat.
Sehingga kini, Chandra Asri belum mendedahkan butiran kewangan urus niaga tersebut, yang merangkumi hampir 60 stesen minyak serta perjanjian bekalan yang berkaitan.
KKR berkata dalam satu kenyataan bahawa penyelesaian pembiayaan itu akan diatur oleh KKR Capital Markets dan disokong oleh platform kredit swasta dan insurans KKR.
“Urus niaga ini selaras dengan matlamat kami untuk menyediakan penyelesaian modal khusus bagi syarikat terkemuka di seluruh Asia-Pasifik.
“Kami menantikan untuk menyokong pertumbuhan Chandra Asri yang berterusan apabila ia memperkukuh kehadiran tenaga hiliran dan runcitnya di Singapura,” kata Pengarah Urusan KKR yang juga Ketua Kredit Swasta Asia, Encik S.J. Lim.
Sebelum ini, sebuah syarikat usaha sama antara Chandra Asri Group Indonesia dengan pedagang komoditi sejagat Glencore, Aster Chemicals and Energy, sudah aktif dalam pengambilalihan perniagaan di Singapura, termasuk pembelian aset penapisan dan bahan kimia Shell pada April.
Pada Jun pula, ia membeli Chevron Phillips Singapore Chemicals, yang memiliki dan mengendalikan kemudahan pengeluaran polietilena (plastik kegunaan harian) di Pulau Jurong, lapor The Straits Times (ST).
Saham Chandra Asri meningkat 1.1 peratus kepada 7,075 rupiah (55 sen).
Setakat ini, saham syarikat itu telah mencatat kerugian sekitar 6 peratus sepanjang 2025, dengan modal pasaran syarikat berjumlah AS$36.22 bilion ($47.10 bilion). – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg