Sebuah konsortium yang terdiri daripada pengurus aset sejagat Keppel, Keppel Asia Infrastructure Fund dan seorang pelabur bersama, telah membeli baki 49 peratus pegangan dalam platform solar Shell Singapura, Cleantech Renewable Assets (CRA), yang sebelum ini belum dimiliki oleh konsortium itu.
Jumlah bayaran bagi pemerolehan tersebut tidak didedahkan, lapor The Business Times (BT).
Pembelian itu menjadikan pegangan konsortium tersebut dalam CRA – sebuah platform tenaga solar yang berpangkalan di Singapura – mencapai 100 peratus, kata Keppel pada 4 November.
Ini sejajar dengan matlamat konsortium itu untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui serta memperluas jejaknya sebagai pengurus aset dan pengendali sejagat yang menyediakan penyelesaian mampan.
“Pemilikan pegangan penuh dalam Cleantech akan mengukuhkan keupayaan kami sebagai pelabur utama serta rakan kongsi am, untuk meningkatkan prestasi, mempercepat proses membuat keputusan serta memperkukuh keupayaan Keppel menjana nilai lebih besar daripada platform tenaga boleh diperbaharui yang terbukti dan boleh diperluaskan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) dan CIO bagi prasarana di Keppel, Encik Jopy Chiang.
Keppel berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan pengurusan CRA untuk membuka “peluang pertumbuhan baru” serta memperkukuh tumpuan strategiknya terhadap tenaga boleh diperbaharui, tenaga bersih dan pengurangan karbon, tambah Encik Chiang.
Menurut Keppel, CRA telah meningkatkan portfolio tenaganya kepada “lebih dua kali ganda”, sekali gus mencapai keupayaan sekitar 1.1 gigawatt merangkumi pelbagai peringkat operasi, sejak konsortium itu memperoleh pegangan majoriti 51 peratus dalam CRA pada Oktober 2022.
Selain itu, platform solar tersebut, yang tertumpu kepada segmen komersial dan industri (C&I) serta memiliki aset di India dan Asia Tenggara, menyasarkan untuk menambah 1 gigawatt aset solar menjelang akhir 2026, kata Keppel.
Pengurus aset itu berkata pemerolehan tersebut berlaku pada “masa penting” bagi landskap tenaga bersih di Asia Tenggara dan India, yang kedua-duanya sedang melalui “perubahan pesat” dipacu oleh sasaran kemampanan negara masing-masing, serta “ekonomi pasaran yang positif”.
Perkembangan di pasaran CRA mewujudkan “landskap menggalakkan” bagi platform solar tersebut memperkukuh kedudukannya dan memacu pertumbuhan, jelas Keppel.
Merujuk kepada data daripada Agensi Tenaga Antarabangsa, Keppel menyatakan sektor solar di Asia Tenggara adalah antara pilihan paling berdaya saing dari segi kos untuk penjanaan elektrik baru.
Sementara itu, India meletakkan sasaran untuk mencapai keupayaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 500 gigawatt menjelang 2030.
Selain itu, sektor tenaga boleh diperbaharui C&I dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sekitar 23 peratus sehingga 2027, tambahnya.
Keppel berkata urus niaga itu dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap pendapatan sesaham dan aset ketara bersih sesaham bagi tahun kewangan semasa.
Saham Keppel turun 1.46 peratus kepada $10.09 pada 3.35 petang, 4 November, susulan pengumuman itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg