Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura harus sedia sokong semua jenis tenaga termasuk bukan tradisional seperti nuklear

See Leng: Keseimbangan tepat diperlukan, terkait kebimbangan keadaan iklim, keselamatan tenaga dan daya saing kos
Oct 27, 2025 | 5:48 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW)
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menekankan tentang langkah mempergiat usaha bagi portfolio berbilang tenaga yang mampan untuk membina masa depan yang diinginkan, sewaktu berucap di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands sempena pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) ke-18 pada 27 Oktober. - Foto ZAOBAO

Singapura perlu sentiasa bersedia menyokong semua jenis tenaga, sedang negara ini kekal komited terhadap usaha menyahkarbon sektor tenaga.

Ini termasuk jenis tenaga bukan tradisional seperti penggunaan tenaga nuklear dan biometana, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Biometana adalah sejenis bahan api boleh diperbaharu dan hijau yang dihasilkan dengan memproses sisa organik seperti sisa makanan, sekali gus menjadikannya bahan api alternatif yang mampan jika dibandingkan dengan gas asli tradisional seperti metana.

Berucap pada acara pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) ke-18, yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 31 Oktober, di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, beliau berkata:

“Kita mesti mempergiatkan usaha bagi portfolio berbilang tenaga yang mampan untuk membina masa depan yang kita inginkan.

“Sepertimana tiada penyelesaian tunggal bagi usaha penyahkarbonan, tidak ada satu-satu penyelesaian yang memadai (bagi sesuatu jenis tenaga).”

Beliau menambah, Singapura sudah mempergiatkan usahanya dalam penggunaan tenaga suria secara domestik dan sedang bekerjasama dengan negara-negara jiran bagi menilai sekiranya projek jana kuasa boleh diperbaharui di luar negara boleh dibekalkan ke sini.

Namun, beliau berkata memandangkan negara ini tidak mempunyai banyak sumber tenaga gantian, seperti tenaga geotermal, ia perlu mengkaji teknologi baru seperti nuklear, penyimpanan karbon dan lain-lain.

Ini agar Singapura dapat mencari “keseimbangan yang tepat”, terkait dengan kebimbangan keadaan iklim, keselamatan tenaga dan daya saing kos, tambahnya.

“Kita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam peralihan tenaga, dan kita akan terus berusaha mencapai matlamat penyahkarbon dalam tempoh yang segara dan penuh tekad.

“Dalam kita berbuat demikian, kita harus sentiasa peka tentang segala kemungkinan yang boleh berlaku.

“Proses menyahkarbon ada kesan dari sudut kos, tetapi kesannya bukanlah bersangkutan kos semata-mata,” ujar Dr Tan.

Buat masa ini, Singapura bergantung kepada gas semula jadi, bahan api tradisional, yang diimport dari luar negara bagi menjana 95 peratus daripada bekalan elektrik, jelas laman rasmi Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Bagi mengurangkan kebergantungan pada gas semula jadi, Dr Tan berkata Singapura akan meneroka penggunaan biometana dengan menubuhkan ruang ujian (regulatory sandbox) yang dikawal selia.

Pengawalseliaan ruang ujian adalah persekitaran terkawal di mana firma boleh menguji inovasi baru di bawah pengawasan badan pengawal selia.

Pada September, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah mengeluarkan usulan kepada syarikat berminat bagi menunjukkan potensi biometana untuk penjanaan kuasa dan aplikasi perindustrian.

Ruang ujian biometana ini mempunyai keupayaan menjana tenaga sehingga 300 megawatt bagi memacu pembangunan rantaian bekalan biometana dan memudahkan proses terima pakai oleh pemain industri utama.

Biometana sudahpun digunakan di rantau Eropah dalam jana kuasa tenaga.

EMA berkata penggunaan biometana dapat mengurangkan pelepasan dengan menggunakan prasarana gas asli semasa – sekali gus mengelakkan sebarang pengubahsuaian pada prasarana gas asli sedia ada di sini.

Di samping biometana, tenaga nuklear turut menjadi satu aspek yang “sedang dikaji secara serius” oleh Singapura antara lain, kata Dr Tan, sambil menambah bahawa negara ini amat berminat dengan teknologi lebih baru seperti reaktor modular kecil.

Justeru bagi mengukuhkan lagi keupayaan Singapura dalam mengkaji tenaga nuklear, beliau mengumumkan bahawa EMA akan menandatangani perjanjian kerjasama baru dengan dua pertubuhan Amerika Syarikat.

Pertubuhan itu ialah adalah Battelle Memorial Institute dan Idaho National Laboratory iaitu badan penyelidikan tidak mengaut untung.

Perjanjian itu adalah susulan kepada perjanjian nuklear sedia ada dengan Amerika, termasuk Perjanjian Kerjasama Nuklear 123 yang kali pertama ditandatangani kedua-dua negara pada Julai 2024.

Ini membolehkan Singapura mempelajari lebih lanjut tentang teknologi nuklear terkini dan penyelidikan saintifik daripada pertubuhan Amerika.

Dr Tan berkata: “Kami sedia maklum orang ramai mempunyai banyak persoalan tentang rancangan kami (mengenai tenaga nuklear).

“Kami akan melibatkan orang ramai secara kerap, sedang kami (pemerintah) meneruskan perjalanan (mengenai penggunaan tenaga nuklear) ini bersama-sama.”

Selain jenis tenaga yang mampan, Dr Tan turut membentangkan tiga teras – merangkumi kesalinghubungan dalam rangkaian tenaga, peningkatan daya tahan ekosistem dan keupayaan tenaga kerja – demi mencapai masa depan mampan dan rendah karbon bagi Singapura.

SEKILAS PENGUMUMAN LAIN

1) Singapura akan menganugerahkan sehingga $44 juta kepada Keppel dan Sembcorp untuk menyokong pelaksanaan dua loji jana kuasa canggih pertama di Singapura menjelang penghujung 2026.

2) Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan syarikat utiliti SP Group sedang meneroka penubuhan Makmal Teknologi SP bagi membangunkan penyelesaian untuk perancangan dan operasi grid tenaga.

3) Penubuhan loji kuasa maya melalui ruang ujian dikawal selia atau regulatory sandbox selama dua tahun oleh EMA. Loji kuasa maya adalah platform digital yang mampu mengagregatkan rangkaian sumber tenaga teragih, seperti panel suria atas bumbung dan pengecas kenderaan elektrik.

4) EMA telah melancarkan Seruan Geran Grid Tenaga 3.0 bagi mendapatkan cadangan untuk mempertingkat perancangan grid tenaga setelah Singapura mula memanfaatkan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui. Ia dibuka kepada konsortium termasuk institut pengajian tinggi, institusi penyelidikan atau syarikat swasta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg