Singapura secara rasmi melancarkan sebuah loji kuasa sokongan di Pulau Jurong, yang mampu mencapai keupayaan pengeluaran penuh dalam beberapa minit, sekiranya berlaku kekurangan bekalan elektrik secara tiba-tiba.
Dua unit penjanaan Turbin Gas Kitaran Terbuka (OCGT) yang diusahakan Meranti Power, anak syarikat Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), mempunyai keupayaan keseluruhan 682 megawatt, cukup untuk membekalkan elektrik kepada lebih sejuta rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik.
Apabila beroperasi, prasarana itu mampu membekalkan elektrik dalam masa 10 minit, sesuatu yang penting sekiranya berlaku peningkatan permintaan secara tiba-tiba atau gangguan kepada sumber kuasa lain, jelas syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
Pembukaan loji kuasa itu pada 29 Oktober dirasmikan Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga serta Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, yang juga hadir semasa majlis pecah tanah projek itu pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Meskipun prasarana OCGT ini bergantung kepada gas sebagai sumber utama, ia juga boleh memanfaatkan sehingga 30 peratus hidrogen apabila sumber tenaga rendah karbon itu berdaya maju.
Prasarana itu akan membantu memastikan sistem tenaga kekal selamat dan boleh dipercayai di tengah permintaan elektrik Singapura yang semakin meningkat, kata Dr Tan.
Buat masa ini, hampir semua bekalan elektrik di Singapura dijana oleh Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT), iaitu unit penjanaan tenaga haba paling cekap, tambah Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia.
Namun, beliau berkata CCGT tidak dapat dimulakan dengan pantas apabila kejadian kecemasan berlaku, contohnya apabila unit penjanaan lain menghadapi masalah teknikal dan perlu ditutup dengan segera.
“Oleh itu, banyak sistem tenaga di seluruh dunia turut mempunyai unit penjanaan pantas untuk melengkapkan CCGT dan mengurangkan ketidakseimbangan yang tidak dijangka dalam sistem,” katanya.
CCGT mengambil masa sehingga 14 jam untuk dimulakan dari keadaan sejuk, manakala prasarana Meranti Power boleh beroperasi dan mencapai keupayaan penuh dalam masa 25 minit sahaja, kata Dr Tan.
Bekalan kuasa sokongan itu juga akan membantu menangani cabaran operasi berkaitan penyepaduan tenaga suria dan angin, apabila Singapura mula mengurangkan karbon dalam grid elektriknya.
Kedua-dua sumber tenaga itu terdedah kepada perubahan cuaca, yang boleh menyebabkan bekalan tidak menentu.
Langkah itu selari dengan usaha negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, di mana penyepaduan sumber tenaga boleh diperbaharui akan memainkan peranan penting.
Meranti Power berkata kecekapan turbin baru itu, berbanding generasi teknologi terdahulu, akan membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida Singapura sekitar 4,000 tan bagi setiap operasi 50 jam.
Ini bersamaan dengan jumlah penyerapan pelepasan karbon tahunan oleh sekitar 200,000 pokok Meranti, sejenis pokok hutan hujan yang banyak ditemui di Asia Tenggara.
Prasarana tersebut, yang mula beroperasi pada Jun 2022 di bawah pengawasan EMA bagi menggantikan prasarana tenaga lama, turut dilengkapi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Dr Tan berkata dua CCGT canggih pertama Singapura yang dibangunkan oleh Keppel dan Sembcorp dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg