Topik diikuti
Pergi ke BHkuKrisis Selat Hormuz: S’pura jamin bekalan gas asli cecair cukup hingga akhir 2026
Krisis Selat Hormuz: S’pura jamin bekalan gas asli cecair cukup hingga akhir 2026
Krisis Selat Hormuz: S’pura jamin bekalan gas asli cecair cukup hingga akhir 2026
Singapura telah membeli gas asli cecair (LNG) yang mencukupi untuk menampung keperluan sehingga akhir 2026 bagi menggantikan penghantaran bekalan yang terkandas di laluan perkapalan Selat Hormuz berikutan perang Iran.
Syarikat milik pemerintah, Singapore GasCo, yang ditubuhkan pada 2025, berjaya mendapatkan penghantaran dari wilayah di luar Timur Tengah melalui pasaran semerta atau ‘spot market’, menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Encik Alan Heng, pada 19 Mei.
Pasaran semerta merujuk pada pasaran di mana aset seperti komoditi dan instrumen kewangan dijual dan dibeli untuk penghantaran segera.
Beliau menambah, syarikat itu kini turut menyasarkan perjanjian jangka panjang dengan pelbagai pembekal, termasuk Amerika Syarikat, Australia, dan Canada.
Syarikat tersebut, yang pada asalnya merancang membina portfolio bekalan gas jangka panjang Singapura pada 2026, terpaksa mengubah strategi selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari.
Serangan itu menjejas laluan trafik melalui Selat Hormuz – laluan perkapalan utama yang mengendalikan satu perlima daripada bekalan LNG sejagat.
Sejak itu, syarikat berkenaan juga menguruskan keperluan jangka pendek Singapura dan mendapatkan penghantaran semerta LNG, kata Encik Heng.
Penghantaran semerta ialah tempahan pengangkutan barangan secara sekali (one-time) pada kadar harga pasaran semasa.
Berbeza dengan kontrak jangka panjang, ia memberikan fleksibiliti serta-merta untuk penghantaran segera atau mengejut, di mana harga dan ruang kapal bergantung kepada penawaran dan permintaan semasa.
Perang Iran telah mendorong pemerintah di seluruh dunia untuk memburu bekalan LNG pada pasaran serta-merta, membuat peralihan kepada bahan gantian lain seperti arang batu, serta melaksanakan sekatan bahan api bagi menguruskan kekurangan bekalan.
Singapura bergantung hampir sepenuhnya kepada gas asli dalam menjana tenaga elektrik, dan mengimport lebih 40 peratus LNG daripada Qatar pada 2025.
Pada Mac, Singapura memberi amaran mengenai kenaikan harga elektrik berikutan konflik yang menjejas bekalan tersebut.
“Kami telah memperoleh LNG mencukupi untuk menguruskan pengurangan bekalan yang kami lihat sedang berlaku dari Timur Tengah,” kata Encik Heng.
Syarikat pengimport itu juga menyasarkan untuk memperoleh sehingga empat juta tan LNG setahun menjelang 2032, dengan jumlah sebenar bergantung kepada pelbagai faktor termasuk ketersediaan gas berpaip, loji jana kuasa baharu, serta permintaan, jelas beliau. – Agensi berita.
