Pengendali rangkaian pasar raya NTUC FairPrice, Kumpulan FairPrice (FPG), telah mendapat kelulusan menggunakan kenderaan autonomi (AV) bagi mengangkut barangan di jalan raya awam tanpa perlu diiringi kenderaan keselamatan.
Ini merupakan kali pertama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) meluluskan penggunaan AV yang dipantau dari jauh, di jalan raya awam bagi tujuan operasi rantaian bekalan.
Dalam satu kenyataan pada 8 Oktober, FPG berkata ia merancang menggunakan AV daripada syarikat teknologi pemanduan autonomi Zelos untuk mengangkut barangan di dalam dan antara pusat pengedaran mereka di Joo Koon dan Benoi, yang jaraknya kurang dari 2 kilometer.
Syarikat itu akan menggunakan kenderaan Zelos Z10, AV sepenuhnya tanpa pemandu pertama yang direka khas untuk sektor logistik.
AV ini mempunyai kapasiti muatan sehingga 1.5 tan dan jarak perjalanan sehingga 210 kilometer, lapor The Straits Times (ST).
Ia akan digunakan bagi mengangkut barangan yang disusun dalam palet, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang selamat disimpan pada suhu bilik, produk berbungkus, dan barangan keperluan lain, tambah FPG.
Dalam satu perjanjian yang ditandatangani pada 7 Oktober, Kumpulan FairPrice dan Zelos bersetuju menambah hampir 30 AV Zelos ke dalam rangkaian kenderaan kumpulan itu.
Pada masa ini, kumpulan itu mempunyai satu AV, dan dijangka menerima dua lagi menjelang akhir Oktober.
Kumpulan FairPrice telah bekerjasama dengan Zelos bagi menjalankan ujian percubaan pada Oktober 2024 dan memperoleh kelulusan LTA untuk beralih kepada operasi pemantauan jarak jauh pada 2025.
Fasa pertama ujian jalan raya awam bermula pada 18 Oktober 2024, melibatkan AV yang melalui ujian pemanduan harian pada siang dan malam, diiringi oleh kenderaan keselamatan.
Kumpulan itu berkata penggunaan AV dijangka mengurangkan pelepasan karbon mereka sebanyak 27 tan setahun.
Ia juga akan mengurangkan masa yang diluangkan untuk tugasan manual seperti memunggah barangan, sekali gus membolehkan pekerja menumpukan perhatian kepada kerja lebih rumit, tambah kumpulan itu.
Ketua Eksekutif Kumpulan FPG, Encik Vipul Chawla, berkata:
“Melalui daya usaha bersama Zelos ini, kami memperkukuh keupayaan kami untuk menyokong ketahanan bekalan negara dengan memperkenalkan inovasi yang menjadikan operasi rantaian bekalan kami lebih cekap, mampan dan berasaskan digital.”
Pengurus Besar Zelos, Encik Terry Zhou, berkata kerjasama dengan FPG menandakan kejayaan pertama AV syarikat berpangkalan di China itu digunakan di luar negara.
“Langkah ini secara penting mengurangkan kos logistik pasar raya melalui pemanduan autonomi,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg