Pengguna Alipay+ kini boleh menggunakan wadah pembayaran itu untuk membuat transaksi di lebih 500 cawangan milik Kumpulan FairPrice (FPG) yang termasuk pasar raya, kedai serbaneka seperti Cheers dan tempat makan seperti Kopitiam dan Foodfare.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara FPG dengan Ant International, yang memiliki wadah pemasaran dan pembayaran mudah alih rentas sempadan Alipay+.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, aplikasi ‘Cheers Mini’ telah dilancarkan di Alipay sebagai “penolong maya” untuk pelancong China di Singapura.
Ia bertujuan membimbing mereka sepanjang lawatan mereka di sini.
Demikian menurut kenyataan bersama oleh FPG dan Ant International pada 26 September, lapor The Straits Times (ST).
Melalui aplikasi itu, pelancong boleh mendapatkan saranan produk dan menyediakan senarai belanja sebelum tiba di Singapura.
Setibanya di sini, mereka boleh menyelesaikan tugas dalam aplikasi untuk mendapat baucar bagi sebotol air kelapa FairPrice secara percuma.
Sepanjang lawatan mereka, pengguna akan menerima saranan produk berdasarkan lokasi di cawangan Cheers berdekatan dan berpeluang mendapat tawaran istimewa atau memenangi hadiah dengan mengambil bahagian dalam cabaran berbeza.
Sebelum pulang, mereka boleh melihat katalog yang mengandungi lebih 500 produk dalam aplikasi itu bagi mendapatkan idea untuk hadiah dan cenderamata.
Menurut FPG dan Ant International, kerjasama itu bertujuan meningkatkan pengalaman pelancongan dan beli-belah bagi pelancong China.
Singapura menerima lebih tiga juta pelancong dari China pada 2024.
Negara ini juga merupakan antara 10 destinasi utama di dunia bagi pelancong antarabangsa, menurut data Alipay+ pada 2025.
Perayaan Minggu Emas China dari 1 hingga 7 Oktober dijangka meningkatkan bilangan pelancong dari China.
Pada 2024, pengendali dan wadah pelancongan tempatan melaporkan permintaan daripada pelancong China meningkat dua kali ganda dalam tempoh itu.
Ketua Eksekutif kumpulan FPG, Encik Vipul Chawla, berkata kehadiran Alipay yang kukuh di Singapura, dan kedudukannya sebagai wadah yang dikenali dalam kalangan pengguna China, membolehkan FPG “mentakrifkan semula peruncitan” untuk pelancong China.
Alipay+ menghubungkan 18 dompet elektronik dan aplikasi bank dari 12 negara dan rantau, memudahkan pelancong berbelanja di serata Singapura, termasuk FPG.
Negara yang disokong oleh Alipay+ termasuk Mongolia, Macau, Korea Selatan dan Italy.
Ketua Eksekutif Ant International, Encik Peng Yang, berkata:
“Alat digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) Alipay+ akan membantu rakan kongsi kami untuk menarik dan melibatkan pengguna dengan cara yang lebih kreatif dan selamat.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama bersama rakan kongsi seperti FPG untuk membuka lebih banyak peluang pertumbuhan tempatan dan serantau.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg