Niaga berdaftar GST perlu hantar invois digital pada Iras jelang Apr 2031

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Niaga berdaftar GST perlu hantar invois digital pada Iras jelang Apr 2031

Langkah akan tarik 90,000 perniagaan ke rangkaian InvoiceNow
Feb 26, 2026 | 8:30 PM

Niaga berdaftar GST perlu hantar invois digital pada Iras jelang Apr 2031

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.
Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow. - Foto MDDI

Semua perniagaan berdaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mesti menghantar invois digital kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) melalui InvoiceNow bermula April 2031, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.

Berucap di Parlimen pada 26 Februari semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kewangan (MOF), Encik Siow berkata langkah ini akan menarik kira-kira 90,000 lagi perniagaan ke rangkaian InvoiceNow, menjadikannya lebih daripada 63,000 perniagaan sedia ada.

“Kami akan melakukan ini secara progresif, mengutamakan penyertaan perniagaan yang lebih kecil supaya kami dapat menyokong mereka dengan lebih baik dalam peralihan mereka,” kata Encik Siow, yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan.

Iras dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dalam kenyataan bersama, memaklumkan bahawa pelanjutan keperluan InvoiceNow GST ini akan dilancarkan secara progresif dari April 2028 hingga April 2031.

Bagi memudahkan penyertaan dan menggalakkan penggunaan awal InvoiceNow, agensi-agensi tersebut berkata pemerintah akan memperkenalkan pembiayaan peralihan untuk mengimbangi kos penyertaan.

Ini merangkumi sehingga $1,000 untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan sehingga $5,000 untuk perniagaan yang lebih besar.

SME juga boleh memanfaatkan penyelesaian InvoiceNow-Ready secara percuma, mulai sekarang hingga Mac 2031, tambah mereka.

Encik Siow membuat pengumuman itu sebagai respons kepada cadangan Anggota Parlimen (AP) Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) dan Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade-Braddell Heights).

Mereka bertanya bagaimana pemerintah boleh membantu perniagaan memacu inovasi dan menambah baik proses untuk menjadi lebih produktif, terutamanya dalam suasana global yang kian rumit.

IMDA melancarkan InvoiceNow, rangkaian e-invois Singapura, pada 2019 untuk menggalak perniagaan menggunakan lebih banyak teknologi untuk meningkatkan produktiviti.

Ia membolehkan perniagaan menghantar dan menerima invois dengan mudah dalam format digital berstruktur, berdasarkan piawaian Peppol antarabangsa.

Proses yang lancar ini mengurangkan kesilapan dan membolehkan invois diproses dengan lebih cekap, sekali gus melonjakkan produktiviti dan aliran tunai perniagaan, kata Iras dan IMDA.

Sejak 1 November 2025, syarikat baru yang mendaftar GST secara sukarela perlu menghantar data invois kepada Iras melalui rangkaian InvoiceNow, yang turut mempercepatkan audit dan bayaran balik GST, kata Encik Siow.

“Memandangkan lebih banyak perniagaan menyertai rangkaian InvoiceNow, faedah dan peningkatan kecekapan rangkaian akan terus meningkat.

“Dengan berunding dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan persatuan perdagangan, kami kini bersedia untuk mengambil langkah seterusnya bagi mendorong penggunaan e-invois yang lebih meluas,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg