Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laba F&N naik 0.3% pada separuh pertama tahun kewangan

May 9, 2025 | 3:40 PM
Menurut Encik Hui Choon Kit, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minuman Fraser and Neave (F&N), syarikat itu telah menunjukkan prestasi yang kukuh meskipun berdepan dengan persekitaran pasaran yang mencabar.
Menurut Encik Hui Choon Kit, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minuman Fraser and Neave (F&N), syarikat itu telah menunjukkan prestasi yang kukuh meskipun berdepan dengan persekitaran pasaran yang mencabar. - Foto BT

Syarikat minuman Fraser and Neave (F&N) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 0.3 peratus bagi separuh pertama tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac, didorong peningkatan dalam jualan bir, minuman ringan dan susu.

Kumpulan ini mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.5 sen setiap saham – sama seperti yang diberikan pada 2024. Pembayaran ini akan dibuat pada 6 Jun.

“F&N telah menunjukkan prestasi yang kukuh meskipun berdepan dengan persekitaran pasaran yang mencabar,” kata Encik Hui Choon Kit, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F&N.

“Jualan kukuh, persekitaran kos menggalakkan dan pergerakan kadar pertukaran asing yang positif dalam bahagian F&B (makanan dan minuman) mencerminkan keupayaan kami untuk mengharungi cabaran luaran dan memanfaatkan kekuatan perniagaan teras kami.”

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) sama ada kumpulan itu terjejas oleh tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, Encik Hui berkata: 

“F&N mempunyai penglibatan perniagaan yang terhad di Amerika, oleh itu tidak terjejas secara langsung oleh tarif (yang dikenakan) baru-baru ini.”

Beliau menambah:

“Meskipun terdapat sedikit gangguan pada penghantaran, rantaian bekalan kami masih berfungsi dengan baik, dan setakat ini tiada perubahan harga berkaitan tarif dikenakan.”

Namun, beliau berkata kumpulan itu sedang memantau dengan teliti keadaan pasaran secara umum – khususnya sentimen pengguna yang mungkin terjejas oleh perkembangan ekonomi global.

“Kami tetap bersedia mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan kestabilan bekalan dan kecekapan kos,” katanya.

Bagi separuh pertama tahun kewangan, pendapatan F&N meningkat sebanyak 13 peratus kepada $1.21 bilion, berbanding $1.07 bilion dalam tempoh yang sama pada 2024.

Mengikut segmen, peningkatan pendapatan disokong oleh prestasi kukuh dalam bahagian F&B, yang mencatat kenaikan pendapatan sebanyak 15 peratus.

Segmen bir dan minuman ringan khususnya mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 28 peratus, didorong oleh jualan lebih tinggi sempena kempen Tahun Baru Cina, pengenalan produk baru serta penetapan harga yang lebih baik, jelas F&N.

Segmen tenusu – penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan itu – merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 8 peratus, disokong oleh jualan susu tin yang kukus di pasaran utama, serta peningkatan jumlah jualan di Laos dan Kemboja. 

Namun, hasil daripada segmen penerbitan dan percetakan menurun sebanyak 1 peratus.

Encik Hui berkata: “Walaupun ketidaktentuan global berterusan, termasuk ketegangan geopolitik dan cabaran perdagangan, kami terus mengambil langkah berhati-hati untuk menangani keadaan ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg