Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laba Great Eastern suku keempat 2024 turun 14% kepada $134.8j

Feb 25, 2025 | 1:02 PM
Jumlah jualan baru berwajaran syarikat penyedia insurans itu pada suku keempat 2024 turun 16 peratus kepada $432.7 juta daripada $514.1 juta pada tempoh sama setahun lalu (2023).
Jumlah jualan baru berwajaran syarikat penyedia insurans itu pada suku keempat 2024 turun 16 peratus kepada $432.7 juta daripada $514.1 juta pada tempoh sama setahun lalu (2023). - Foto ST

Great Eastern pada 25 Februari melaporkan keuntungan bersih $134.8 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, turun 14 peratus daripada $157.2 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Penyedia insurans itu menyatakan bahawa suku keempat “melihat beberapa perkembangan dalam perniagaan insurans perubatan dari Singapura dan Malaysia”.

Perkembangan ini telah diambil kira, menyebabkan keuntungan yang lebih rendah dicatatkan untuk tempoh tersebut, lapor The Business Times.

Jumlah jualan baru berwajaran pada suku keempat turun 16 peratus kepada $432.7 juta daripada $514.1 juta, di tengah-tengah jualan premium tunggal yang lebih rendah dalam pasaran Singapura.

Nilai terbenam perniagaan baru (NBEV) susut 53 peratus kepada $105.7 juta daripada $225.9 juta.

Kumpulan itu telah menurunkan NBEVnya sebanyak $91.7 juta pada suku keempat untuk mencerminkan andaian aktuari yang disemak berikutan kajian semula tahunan pada akhir tahun.

Jika tidak termasuk kesan ini, NBEV pada suku keempat mencecah $197.4 juta, turun 13 peratus tahun-ke-tahun.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan jumlah jualan baru berwajaran.

Lembaga itu telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 45 sen sesaham, yang akan dibayar pada 6 Mei, berikutan tarikh rekod pada 21 April.

Termasuk dividen interim sebanyak 45 sen sesaham yang dibayar pada Ogos 2024, jumlah dividen bagi tahun kewangan 2024 akan berjumlah 90 sen sesaham, peningkatan sebanyak 20 peratus daripada 75 sen sesaham pada tahun kewangan 2023.

Melainkan terjadi keadaan yang tidak dijangka, Great Eastern berkata ia “bertujuan untuk memastikan setiap jumlah dividen tidak kurang daripada yang sebelumnya”.

Untuk tahun penuh, keuntungan bersih meningkat 28 peratus kepada $995.3 juta daripada $774.6 juta.

Ini disebabkan oleh perbezaan perbelanjaan yang lebih baik daripada inisiatif pengurusan kos, pengalaman tuntutan yang lebih baik daripada perniagaan hayat individu, serta prestasi pelaburan yang menggalakkan daripada dana pemegang saham.

Keuntungan daripada dana pemegang saham melonjak 112 peratus pada tahun tersebut (2024) kepada $264.6 juta daripada $125 juta.

Ini disumbangkan oleh prestasi pelaburan yang kukuh dan keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) dalam keadaan pasaran pelaburan yang menggalakkan.

MTM adalah kaedah perakaunan yang digunakan untuk mengukur nilai wajar akaun sesebuah portfolio berdasarkan harga pasaran semasa.

Jumlah jualan baru berwajaran meningkat 8 peratus kepada $1.8 bilion daripada $1.7 bilion.

Operasi kumpulan itu di Singapura dan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhannya, didorong oleh saluran agensinya.

Tidak termasuk kesan andaian aktuari yang disemak, NBEV kumpulan itu untuk tahun penuh berjumlah $713.2 juta, peningkatan sebanyak 4 peratus pada tahun tersebut.

Pada Mei 2024 lalu, OCBC membuat bidaan $1.4 bilion untuk baki 11.56 peratus kepentingan dalam Great Eastern yang belum dimilikinya, dengan tujuan untuk menyahsenarai syarikat insurans itu.

Bank itu memegang hampir 94 peratus daripada syarikat insurans itu apabila tawaran pengambilalihan ditutup pada Julai 2024, tetapi ini tidak mencukupi untuk Great Eastern menyahsenarai, atau untuk OCBC mengambil alih secara paksa baki sahamnya.

Walau bagaimanapun, ia telah menyebabkan Great Eastern melanggar keperluan apungan percuma minimum, dan sahamnya digantung daripada dagangan.

Pada Januari 2025, syarikat insurans itu membuat permohonan kepada Bursa Singapura (SGX) bagi lanjutan masa untuk meneliti pilihannya bagi mematuhi keperluan apungan percuma di bawah peraturan penyenaraian SGX.

SGX tiada bantahan untuk memberikan lanjutan itu dan Great Eastern mempunyai masa sehingga 25 Mei untuk meneroka pilihan.

Sahamnya telah digantung daripada dagangan sejak Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg