Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perubahan perlindungan insurans Great Eastern bagi rawatan di wad kelas lebih tinggi

Perlindungan dikurang bagi pemilik pelan IP kelas A dan B1 yang tukar ke wad kelas lebih tinggi
Jan 20, 2025 | 4:46 PM
ST PHOTO: KELVIN CHNG
Semua perubahan terhadap perlindungan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) perlu mendapat kelulusan MOH. - Foto ST

Syarikat insurans Great Eastern Life (GE) telah mengurangkan perlindungan untuk Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) jika pemegang polisinya memilih untuk mendapatkan rawatan di wad kelas yang lebih tinggi.

Seseorang dengan polisi IP Kelas A yang telah memperbaharui kontraknya dengan GE dari Oktober 2024 dan kemudian mendapatkan rawatan di sektor privet, hanya akan mendapat perlindungan sebanyak 35 peratus daripada keseluruhan bil – pengurangan daripada 70 peratus sebelum ini.

“(Pada 2024) semua syarikat insurans IP kecuali Raffles Health Insurance telah membuat perubahan kepada produk mereka. Perubahan ini termasuk pelarasan pada had tuntutan, perlindungan serta manfaat – pada kadar berbeza,” jelas Kementerian Kesihatan (MOH) kepada The Straits Times (ST).

Semua perubahan terhadap perlindungan IP perlu mendapat kelulusan MOH.

GE turut mengubah peratusan bil yang dilindungi bagi pemegang polisi IP Kelas B1 – daripada perlindungan 50 peratus untuk rawatan di hospital privet, kepada 25 peratus; dan daripada perlindungan 80 peratus untuk rawatan Kelas A, kepada 70 peratus.

Jurucakap GE berkata bahawa perubahan ini dibuat “untuk mencerminkan perbezaan kos antara rawatan di penyedia perkhidmatan kesihatan privet dengan (hospital) yang disusun semula”.

“Menyesuaikan faktor penyelarasan faedah (polisi insurans kesihatan) adalah penting bagi memastikan pelanggan yang menggunakan pelan mereka untuk tujuan yang ditetapkan di hospital yang disusun semula, tidak terpaksa menanggung kos rawatan hospital privet yang lebih tinggi secara tidak adil. Dengan cara ini, semua pihak mendapat manfaat daripada sistem yang adil dan seimbang,” tambahnya.

Jurucakap MOH berkata bahawa faktor penyelarasan faedah untuk IP bergantung pada pengalaman tuntutan dan pertimbangan keuntungan syarikat insurans sendiri. 

Seiring dengan perubahan pada IP, kementerian perlu memastikan syarikat insurans memenuhi parameter utama seperti keperluan pembayaran bersama dan kadar potongan yang ditetapkan.

GE juga telah mengurangkan perlindungan Kelas B1 daripada 80 peratus kepada 70 peratus untuk wad penginapan singkat yang tidak disubsidi, pembedahan hari dan rawatan pesakit luar, di hospital awam.

Kelas B1 merupakan kelas privet di mana pesakit diberi pilihan doktor, sambil mendapat 20 peratus subsidi pemerintah, lapor ST.

GE membuat satu lagi perubahan pada 2024 dengan menurunkan had umur untuk pesakit berusia yang perlu membayar potongan lebih tinggi daripada 50 peratus, dari 85 tahun kepada 80 tahun. 

Selain itu, semua syarikat insurans telah membuat perubahan baik untuk pemegang polisi dengan melindungi program Mobile Inpatient Care@Home (MIC@Home) – yang merawat pesakit stabil di rumah pada kadar wad pesakit dalam biasa. 

GE juga telah  meningkatkan perlindungan dalam beberapa bidang, termasuk terapi proton, yang meningkat sebanyak $10,000 hingga $30,000, bergantung kepada pelan IP. 

Perubahan pada MediShield Hayat yang berkuat kuasa pada April dijangka membawa perubahan tambahan oleh syarikat insurans pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg