Lapangan Terbang Changi mencatat sekitar 17.5 juta pergerakan penumpang dari April hingga Jun, meningkat 5.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Angka itu juga merupakan peningkatan 4 peratus, berbanding jumlah pergerakan penumpang yang dicatat dalam suku kedua 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Perangkaan terkini itu dikeluarkan oleh pengendali lapangan terbang, Changi Airport Group (CAG), menerusi satu kenyataan media pada 22 Julai.
Lapangan terbang tersebut mencatat 5.78 juta pergerakan penumpang pada April; 5.82 juta pada Mei; dan 5.88 juta pada Jun.
Demikian menurut data trafik penumpang yang diterbitkan di laman web Lapangan Terbang Changi.
China kekal sebagai pasaran terbesar Lapangan Terbang Changi pada suku kedua 2025 berdasarkan jumlah trafik penumpang, diikuti Indonesia, Malaysia, Australia dan India, kata CAG.
Trafik antara Singapura dengan China mencatat peningkatan 15.8 peratus tahun ke tahun, manakala trafik dua hala dengan Indonesia pula meningkat 12 peratus dalam tempoh sama.
Pada Januari, Menteri Pengangkutan pada waktu itu, Encik Chee Hong Tat, berkata pihak berkuasa menjangkakan jumlah trafik di Lapangan Terbang Changi pada 2025 akan melebihi tahap sebelum pandemik.
Lapangan Terbang Changi mengendalikan 67.7 juta penumpang pada 2024, mencecah 99.1 peratus daripada rekod 68.3 juta penumpang yang dicatat pada 2019, lapor The Straits Times (ST).
Naib Presiden Eksekutif CAG bagi Pembangunan Hab Udara dan Kargo, Encik Lim Ching Kiat, berkata lapangan terbang itu mencatat pertumbuhan trafik penumpang yang sihat dari April hingga Jun.
Trafik dua hala antara Singapura dengan China dan Indonesia turut mencatat pertumbuhan yang amat memberangsangkan.
Menurut Encik Lim, ia adalah bukti usaha berterusan Lapangan Terbang Changi untuk merangsang permintaan perjalanan di rantau ini.
Sebanyak 93,600 pergerakan pesawat – termasuk pesawat yang berlepas dan mendarat – dicatat di Lapangan Terbang Changi pada suku pertama 2025, meningkat 4.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Pada suku kedua 2025, Lapangan Terbang Changi membuka laluan baru ke beberapa bandar termasuk Vienna di Austria, Kota Bharu di Malaysia dan Nha Trang di Vietnam.
Menyusuli penutupan syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Singapura, Jetstar Asia, pada 31 Julai, dua daripada empat laluan yang sebelum ini hanya dikendalikan oleh syarikat tersebut – iaitu Okinawa di Jepun dan Labuan Bajo di Indonesia – akan diambil alih oleh Scoot, bermula antara Oktober 2025 dengan Mac 2026.
Juneyao Air dari China akan mengambil alih laluan antara Singapura dengan Wuxi di China yang sebelum ini dikendalikan oleh anak syarikat Qantas itu, mulai 29 Ogos.
Namun, laluan ke Broome di Australia tidak diteruskan susulan penutupan Jetstar Asia.
Sehingga 1 Julai, sekitar 100 syarikat penerbangan telah mengendalikan lebih 7,200 penerbangan berjadual mingguan di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura ke sekitar 170 bandar di 50 negara dan wilayah di seluruh dunia.
CAG turut memaklumkan bahawa T’Way Air, Philippine Airlines, Myanmar National Airlines dan Myanmar Airways International akan berpindah ke Terminal 2 (T2) dalam beberapa bulan akan datang, sebagai sebahagian usaha memanfaatkan sepenuhnya penggunaan sumber di seluruh terminal lapangan terbang itu.
Buat masa ini, T’Way Air dan Myanmar National Airlines sedang beroperasi dari Terminal 3 (T3), manakala Philippine Airlines dan Myanmar Airways International menjalankan perkhidmatan dari Terminal 1 (T1).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg