Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: 93% bisnes S’pura lihat Johor destinasi pelaburan menarik

Jul 11, 2024 | 6:12 PM
Laporan Persekutan Perniagaan Singapura (SBF) menekankan keperluan untuk pergerakan rentas sempadan yang lebih baik bagi penduduk dan barangan antara Malaysia, khususnya Johor, dengan Singapura.
Laporan Persekutan Perniagaan Singapura (SBF) menekankan keperluan untuk pergerakan rentas sempadan yang lebih baik bagi penduduk dan barangan antara Malaysia, khususnya Johor, dengan Singapura. - Foto ST

Laporan baru mendapati 93 peratus perniagaan Singapura melihat Johor sebagai destinasi pelaburan yang menarik, dengan 50 peratus sudah beroperasi di negeri itu.

Dilaksanakan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), laporan tersebut melibatkan dapatan daripada 160 perniagaan Singapura merentasi pelbagai industri.

Tinjauan dibuat secara dalam talian selain mengadakan kumpulan fokus secara peribadi untuk mengumpul cadangan mengenai pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) itu, lapor The Business Times.

“Konsep JS-SEZ mewakili lembaran baru yang berani dan menarik dalam kerjasama ekonomi kita,” kata Pengerusi SBF, Encik Lim Ming Yan, semasa pelancaran laporan itu sempena Forum Pelaburan Bersama JS-SEZ pada 11 Julai.

Forum berkenaan dianjurkan bersama oleh SBF dan agensi Pelaburan Johor.

Kira-kira 200 wakil perniagaan menghadiri acara di Amara Singapura itu.

“Dengan memanfaatkan sumber Johor dan kelebihan daya saing, seiring prasarana dan ketersambungan Singapura, kita boleh mewujudkan zon ekonomi dinamik yang akan menarik pelaburan, memupuk perdagangan dan menjana peluang pekerjaan,” tambah Encik Lim.

Kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada Januari 2024 untuk mengusahakan JS-SEZ bagi mengukuhkan kesalinghubungan ekonomi merentasi Tambak.

Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli, yang mewakili negaranya dalam perbincangan dua hala dengan Singapura, mendedahkan pada taklimat di Kuala Lumpur pada 10 Julai, bahawa kedua-dua pihak “sepatutnya boleh menandatangani perjanjian” dan mendedahkan SEZ pada September.

Pengerusi Kumpulan Kerja Perniagaan Singapura bagi JS-SEZ, Encik Teo Siong Seng, berkata:

“Sambutan yang bersemangat terhadap laporan kami jelas menandakan potensi besar JS-SEZ untuk rantau kita.

“Ini bukan sekadar projek lain – ia berpotensi membawa perubahan yang boleh memanfaatkan Malaysia dan Singapura.”

Di sebalik keghairahan yang tinggi, laporan SBF turut mendedahkan cabaran penting untuk diatasi bagi menjamin kejayaan JS-SEZ.

Kekurangan bakat menjadi kebimbangan utama, dengan hampir 60 peratus perniagaan melaporkan kesukaran mendapatkan pekerja teknikal dan mahir di Johor.

Selain itu, menarik bakat Singapura untuk bekerja merentasi sempadan menimbulkan cabaran selanjutnya.

Masalah tenaga kerja disebabkan oleh beberapa faktor: 60 peratus perniagaan menyebut isu pas pekerjaan; 58 peratus menampilkan jurang kemahiran dalam tenaga buruh Malaysia; dan 21 peratus menunjukkan ketidakpadanan gaji.

Laporan itu juga menekankan keperluan pergerakan rentas sempadan yang lebih baik untuk penduduk dan barangan.

Daripada perniagaan yang ditinjau, 36 peratus melahirkan harapan agar adanya sambungan yang lebih baik dari segi lorong imigresen khas untuk orang ramai bagi memudahkan perjalanan yang lebih lancar.

Pergerakan barangan, sebaliknya, dihalang oleh kesesakan lalu lintas, aturan cukai import yang berbeza dan prosedur kastam, dengan 55 peratus perniagaan menyatakan kesukaran dalam mengendalikan isu cukai dan 48 peratus menunjukkan perlunya pelepasan kargo yang lebih pantas bagi meningkatkan kecekapan aliran barangan.

“Konsep JS-SEZ mewakili lembaran baru yang berani dan menarik dalam kerjasama ekonomi kita.”
Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Lim Ming Yan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg