Singapura mengalu-alukan lebih banyak projek saling menguntungkan dengan Malaysia, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sedang kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-100 Tambak Johor (atau Koswe) pada 28 Jun.
Dalam hantaran di media sosial, Encik Wong berkata Singapura dan Malaysia sedang bekerjasama dalam pelbagai projek merentas bidang – kesihatan, pendidikan, budaya dan perdagangan, serta bidang baru muncul seperti ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.
“Saya mengalu-alukan usaha mengukuhkan hubungan kami bagi 100 tahun akan datang.
“Mengharapkan lebih banyak projek saling menguntungkan dengan Malaysia,” kata Encik Wong.
Sementara itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang berada di sambutan menyambut 100 tahun Tambak Johor pada pagi 28 Jun, menyifatkan tambak itu sebagai “ikon ikatan unik persaudaraan, persahabatan dan jalinan sejarah Singapura dan Johor”.
“Ia telah menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi begitu banyak generasi warga Singapura dan Malaysia yang telah melalui salah satu lintasan darat yang paling sibuk di dunia, kadangkala setiap hari.
“Singapura dan Malaysia komited untuk membuat penambahbaikan yang ketara pada masa hadapan sedang hubungan kami terus bertambah erat dan berkembang,” tulis Dr Balakrishnan di Facebook.
Beliau turut mengalu-alukan penyelesaian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam pada itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang hadir pada majlis pelancaran pameran bergerak ‘The Causeway: A Century of Connections’ (Koswe: Hubungan Seabad) Lembaga Warisan Negara (NHB) mengatakan bahawa Koswe itu bukan sahaja antara lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia, ia juga “sebahagian besar warisan terbina Singapura dan Malaysia”.
Encik Tong merupakan tetamu terhormat majlis tersebut bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Lebih penting lagi, (Koswe) merupakan peringatan tentang hubungan perkongsian yang mendalam yang mengikat negara kita bersama.
“Tambak itu adalah simbolik terhadap persaudaraan dan persahabatan antara negara kita.
“Lebih daripada setakat laluan bagi kenderaan, Koswe telah memberi kita laluan kepada persaudaraan dan persahabatan,” ujar Encik Tong.
Beliau menambah bahawa saban tahun, pembangunan di Tambak Johor menjadi cerminan pembangunan pesat kedua-dua Singapura dan Malaysia.
Bahkan, koswe tersebut telah beberapa kali melalui pelebaran untuk menyokong keperluan perdagangan dan perjalanan kedua-dua negara yang semakin meningkat.
“Tambak Johor ialah laluan penghubung utama yang menghubungkan kita sepanjang tahun pertumbuhan dan pembangunan. Sejak awal ketika Malaya menjadi pengeksport utama komoditi seperti bijih timah dan getah, dan ketika Singapura menjadi pusat perdagangan utama.
“Hari ini, Tambak Johor adalah saluran perdagangan dan perniagaan, membolehkan pertukaran rentas sempadan orang, barangan dan pelaburan. Ia juga telah meletakkan asas yang kukuh untuk projek-projek akan datang seperti JS-SEZ, merapatkan lagi kedua-dua negara kita,” tambah Encik Tong.
“
“Saya mengalu-alukan usaha mengukuhkan hubungan kami bagi 100 tahun akan datang. Mengharapkan lebih banyak projek saling menguntungkan dengan Malaysia.”“
“Ia telah menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi begitu banyak generasi warga Singapura dan Malaysia yang telah melalui salah satu lintasan darat yang paling sibuk di dunia, kadangkala setiap hari. Singapura dan Malaysia komited untuk membuat penambahbaikan yang ketara pada masa hadapan sedang hubungan kami terus bertambah erat dan berkembang.”“
“Lebih penting lagi, (Koswe) merupakan peringatan tentang hubungan perkongsian yang mendalam yang mengikat negara kita bersama.Tambak itu adalah simbolik terhadap persaudaraan dan persahabatan antara negara kita. Lebih daripada setakat laluan bagi kenderaan, Koswe telah memberi kita laluan kepada persaudaraan dan persahabatan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg