Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan bank: Penduduk menua jejas pertumbuhan ekon jangka panjang

Di Eropah ia berupaya kurangkan GDP hampir 0.4 mata peratus setahun antara 2024 dengan 2050
Nov 25, 2025 | 5:12 PM
tua, GDP, jejas, ekonomi
Menurut laporan Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD), penduduk menua telah mula memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di beberapa negara. - Foto PIXABAY

LONDON: Negara-negara perlu bertindak segera untuk memastikan pertumbuhan perlahan penduduk tidak menjejas prospek ekonomi jangka panjang, kata Bank Eropah bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD).

Menurut laporan separuh tahunan yang dikeluarkan pada 25 November, EBRD berkata penduduk menua telah mula memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di beberapa negara.

Di negara Eropah pula, penurunan bilangan penduduk dalam usia bekerja dijangka akan mengurangkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita tahunan dengan purata hampir 0.4 mata peratus setahun antara 2024 dengan 2050.

“Sehingga kini, demografi menjejas kadar peningkatan taraf hidup, dan akan menjadi cabaran kepada pertumbuhan GDP pada masa depan,” kata Ketua Ekonomi EBRD, Cik Beata Javorcik, kepada Reuters.

Negara-negara yang dahulunya komunis, kata Cik Javorcik, “menjadi tua sebelum menjadi kaya”, dengan umur median mencapai 37 tahun ketika purata GDP per kapita negara berada pada AS$10,000 ($13,033).

Jumlah itu hanya seperempat daripada angka yang dicatatkan apabila umur median mencapai tahap sama di negara maju pada 1990-an.

Laporan itu mendapati pelbagai faktor telah menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran, termasuk perubahan norma sosial, serta pengurangan pendapatan wanita kerana mempunyai anak.

Meskipun hampir semua negara anggota EBRD mempunyai sekurang-kurangnya beberapa insentif untuk meningkatkan kadar kelahiran, Cik Javorcik berkata langkah-langkah tersebut tidak menunjukkan perubahan bermakna dan berterusan di mana-mana negara.

Laporan itu menyatakan bahawa kadar penghijrahan yang diperlukan untuk mengimbangi penurunan kadar kelahiran secara umumnya tidak diterima di kebanyakan tempat.

Selain itu, kebanyakan rakyat bersikap ‘tidak pasti’ mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan produktiviti.

Justeru itu, cara paling berkesan untuk menangani masalah ini ialah untuk menggalak penduduk bekerja lebih lama, namun ia memerlukan latihan semula dan mungkin juga beberapa perubahan kepada skim pencen, kata Cik Javorcik.

“Apa yang kita perlukan ialah perbincangan matang dengan pengundi mengenai keadaan sebenar, kerana sebenarnya orang ramai tidak memahami sepenuhnya kesan trend demografi.

“Kita perlu memberi penjelasan (kepada pengundi) terutama pengundi muda, kerana mereka yang akan menanggung beban skim pencen bayar-sambil-kerja,” katanya.

Laporan itu juga mendapati bahawa secara umum, tiada langkah menangani penurunan kadar kelahiran yang diterima di kalangan rakyat dan anggota politik.

Masalah ini menjadi lebih sukar kerana penduduk yang menua, termasuk pemimpin, lebih cenderung mengekalkan perlindungan pencen sedia ada dan mengehadkan penghijrahan.

Di peringkat sejagat secara purata, pemimpin kini berumur 60 tahun, iaitu 19 tahun lebih tua daripada umur median dewasa. 

Jurang ini lebih besar di negara-negara yang mempunyai sistem pemerintahan autokrasi, dengan pemimpin berumur 26 tahun lebih tua daripada umur median dewasa pada 2023, meningkat daripada 19 tahun pada 1960.

Negara anggota terbaru EBRD, termasuk negara muda dan sedang membangun seperti Nigeria, perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan pekerjaan dan pengembangan sektor swasta kerana masa semakin suntuk, kata Cik Javorcik.

“Hasil demografi yang mereka boleh nikmati adalah sementara,” katanya, merujuk kepada penurunan kadar kelahiran di kawasan Afrika lain.

“Oleh itu, mereka hanya mempunyai satu peluang, dan negara-negara ini perlu memanfaatkannya sepenuhnya.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg