Sehingga Jun lalu, Singapura mempunyai 3.66 juta warga, meningkat sedikit daripada 3.64 juta yang dilaporkan pada Jun 2024, demikian menurut laporan yang dikeluarkan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) baru-baru ini.
Satu perkara menarik perhatian adalah bilangan warga Singapura berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 19.9 peratus pada 2024 kepada 20.7 peratus.
Bagi golongan warga emas ini, dan juga mereka yang memasuki usia 50-an tahun, antara isu yang dekat di hati adalah simpanan bagi hari persaraan.
Ketika usia itu, ramai mula memikirkan sama ada simpanan yang dimiliki – termasuk dalam bank, akaun-akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) seperti Akaun Persaraan (RA) dan Akaun Biasa (OA) – mencukupi untuk menampung kehidupan semasa bersara.
Seorang rakan yang baru sahaja bersara berkongsi bahawa beliau yakin simpanannya dalam bank dan CPF agak mencukupi. Namun beliau tetap bimbang kerana tidak lagi meraih pendapatan tetap setiap bulan.
Seorang lagi rakan yang berusia lewat 50-an tahun mengakui sudah mula berasa penat untuk terus bekerja kerana tahap tenaga dirasakan semakin berkurangan, dan mula merancang untuk bersara dalam beberapa tahun lagi.
Seorang kenalan lain yang baru bersara pada usia awal 60-an tahun pula berasa gembira kerana akhirnya dapat meluangkan masa melakukan lebih banyak perkara yang diinginkan seperti mengembara dan melakukan kerja sukarela.
Ternyata, setiap orang mempunyai matlamat dan keinginan masing-masing apabila bersara. Namun, satu isu sangat penting dalam membuat keputusan untuk bersara ialah jumlah wang simpanan yang ada.
Tanpa simpanan kukuh, seseorang hanya mampu berbelanja secara terbatas. Sebaliknya, dengan simpanan yang mencukupi, mereka boleh hidup dengan lebih selesa dan kurang tekanan, kerana tidak perlu risau tentang belanja harian dan bulanan.
Namun, simpanan persaraan yang mencukupi tidak akan berlaku secara automatik. Perancangan perlu dibuat dari awal.
Semakin awal seseorang mula merancang kewangan untuk persaraan, semakin besar peluang untuk mencapai jumlah simpanan yang mencukupi apabila tiba waktunya. Sebaliknya, jika tidak merancang, kita merancang untuk gagal.
Tanpa perancangan, pesara mungkin sentiasa hidup dalam kebimbangan, malah berkemungkinan terpaksa bergantung kepada anak atau ahli keluarga lain untuk menampung kos hidup harian.
Lebih membimbangkan, kos sara hidup pada usia 50-an tahun dan ke atas biasanya meningkat, terutama dari segi kos perubatan apabila kesihatan mula merosot.
Sebaiknya, perancangan kewangan untuk persaraan dimulakan apabila seseorang memasuki alam pekerjaan. Mulakan dengan menyimpan sekurang-kurangnya 10-20 peratus daripada gaji untuk simpanan am dan dana persaraan.
Apabila gaji meningkat, peratusan simpanan boleh juga meningkat kepada 15-25 peratus (tidak termasuk potongan gaji ke dalam CPF).
Wang ini juga boleh ditokok ke dalam CPF terutamanya Akaun Khas (SA) yang menawarkan dividen minimum 4 peratus – satu pulangan tanpa risiko yang baik.
Malah, jika kita dapati dana dalam OA kita semakin meningkat dan tiada keperluan mendesak untuk digunakan bagi pembayaran rumah, dana OA itu juga boleh dipindahkan ke SA untuk menikmati pulangan lebih tinggi.
Kini, semakin ramai menyedari manfaat pemindahan wang daripada OA ke SA, namun masih ramai yang tidak mengambil langkah ini. Sedangkan lebih banyak wang yang dipindahkan daripada OA ke SA, lebih besarlah jumlah dana persaraan yang akan terkumpul menjelang usia 55 tahun, apabila dana daripada SA boleh dipindahkan ke RA.
Simpanan RA yang besar pula akan memberi bayaran bulanan lebih tinggi apabila kita mencecah usia 65 tahun di bawah skim CPF Life – skim pembayaran bulanan sepanjang hayat yang sangat membantu pesara menguruskan kewangan mereka.
Selepas melepasi usia 55 tahun, seseorang juga sudah boleh mengeluarkan wang daripada OA pada bila-bila masa, setelah kita mengetepikan Jumlah Persaraan Penuh (FRS) di RA.
Namun harus diingat, menyimpan wang dalam OA atau RA memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding meletakkannya di akaun biasa bank.
Tiada salahnya mengeluarkan wang daripada OA, namun berbelanjalah dengan cermat dan hanya jika perlu. Contohnya, jika seseorang mempunyai $100,000 dalam OA, beliau akan menerima sekurang-kurangnya $2,500 dividen setahun.
Lebih baik gunakan hasil dividen itu dahulu, sementara jumlah pokok itu ($100,000) terus menjana pulangan setiap tahun. Malah jika kita ada $200,000 dalam OA, pulangannya boleh mencecah sekurang-kurangnya $5,000 setahun.
Bagi mereka yang masih mempunyai simpanan dalam bank yang besar, dicadangkan untuk memindahkan sebahagiannya ke RA untuk mendapat pulangan minimum 4 peratus setiap tahun.
Dan apabila kita mencapai usia 65 tahun, kita boleh menikmati pembayaran bulanan sepanjang hayat yang lebih tinggi melalui CPF Life.
Perancangan kewangan untuk persaraan bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan. Meskipun persaraan terasa lagi lama, masa berlalu lebih pantas daripada yang kita sangka. Jangan biarkan wang di dalam CPF atau bank dibiarkan begitu sahaja.
Semakin ramai yang kini aktif merancang kewangan buat hari tua. Jadi, janganlah kita ketinggalan. Usah nanti apabila rakan-rakan kita bersara dengan gembira, kita pula melangkah masuk alam persaraan dengan rasa bimbang, risau dan sedih kerana tiada simpanan mencukupi.
Rancanglah dari sekarang supaya kehidupan semasa bersara kelak akan lebih tenang, teratur dan bebas daripada tekanan kewangan. Semoga berjaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg