Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Pelaburan GIC, Temasek kekal $39.8b pada 2025

Jan 2, 2026 | 3:49 PM
Perbelanjaan GIC dan Temasek kekal stabil, berbeza dengan dana kekayaan serupa di Teluk dan Canada yang mencatat peningkatan dalam pelaburan.
Perbelanjaan GIC dan Temasek kekal stabil, berbeza dengan dana kekayaan serupa di Teluk dan Canada yang mencatat peningkatan dalam pelaburan. - Foto GIC, ST

Pelaburan GIC dan Temasek kekal pada paras sama AS$31 bilion ($39.8 bilion) pada 2025 berbanding 2024, menurut platform data Global SWF.

Laporan tahunan Global SWF yang diterbitkan pada 1 Januari menunjukkan GIC menduduki tempat keempat dari segi perbelanjaan, turun daripada tempat kedua pada 2024. Manakala, Temasek berada di kedudukan kelapan, naik satu tangga berbanding 2024.

Laporan yang memantau lebih 400 dana kekayaan kedaulatan dan dana pencen awam itu menyatakan bahawa perbelanjaan kedua-dua dana Singapura itu kekal stabil, berbeza dengan dana kekayaan serupa di Teluk dan Canada yang mencatat peningkatan dalam pelaburan.

Secara keseluruhan, aktiviti pelaburan dana kedaulatan global mencapai tahap rekod, lapor The Business Times (BT).

Perbezaan ini menunjukkan kemungkinan GIC dan Temasek mengambil pendekatan yang lebih memilih, walaupun ekonomi serantau seperti Malaysia berusaha menempatkan dirinya untuk menarik pelaburan berkaitan pemerintah dalam jangka panjang.

Meskipun pelaburan dana Singapura kekal pada paras sama pada 2025, GIC terlibat dalam urus niaga rentas sempadan kedua terbesar dalam 2025 sebagai sebahagian daripada konsortium bersama Norges Bank Investment Management (NBIM) dari Norway.

GIC bersama NBIM dan pengurus dana pencen Belanda APG, bakal melabur sehingga 9.5 bilion euro ($14.4 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang ke dalam grid tenaga TenneT di Jerman sebagai pertukaran bagi pegangan saham 46 peratus dalam grid tenaga tersebut.

GIC kekal sebagai pelabur bersama ‘paling prolifik’ di dunia, dengan nilai pelaburan sebanyak AS$44.9 bilion sejak 2018 – jumlah tertinggi bagi mana-mana dana kekayaan milik pemerintah di peringkat global.

Sementara itu, Temasek akan melaksanakan langkah penstrukturan semula terbesar dalam lebih sedekad pada 1 April, dengan memisahkan portfolionya kepada tiga segmen – iaitu Temasek Global Investments, Temasek Singapore, dan Temasek Partnership Solutions.

Oleh kerana syarikat pelaburan Singapura ini dianggap mempunyai ‘amalan terbaik’ di peringkat global, dana lain mungkin mengikuti langkah penstrukturan serupa, menurut laporan Global SWF.

Temasek dan GIC juga menduduki tangga teratas dari segi jumlah urus niaga pada 2025, masing-masing mencatat 60 dan 42 urus niaga.

Selain itu, GIC didapati berada pada kedudukan kukuh dalam segmen prasarana digital dan pusat data, yang merupakan sebahagian daripada segmen tumpuan utama pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) laporan itu bagi 2025.

Jumlah keseluruhan pelaburan GIC dalam AI mencapai AS$2.5 bilion pada 2025.

Pada September, GIC mengumumkan ia merupakan ‘pelabur utama’ dalam firma keselamatan dan penyelidikan AI Anthropic, sebagai sebahagian daripada pusingan pembiayaan Siri F bernilai AS$13 bilion.

Di bawah sektor pendigitalan dan AI yang lebih luas, GIC melabur sebanyak AS$13.7 bilion pada 2025.

Sementara itu, Temasek menyalurkan AS$2.9 bilion bagi pelaburan khusus AI, daripada jumlah keseluruhan AS$3.5 bilion yang diperuntukkan bagi pendigitalan dan AI.

Secara global, pelabur milik pemerintah mencatat aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai AS$60 trilion pada 2025, dengan AS$15 trilion daripadanya berada di bawah dana kekayaan kedaulatan.

Menurut Global SWF, menjelang 2030, angka ini dijangka meningkat kepada AS$80 trilion bagi semua pelabur milik pemerintah dan AS$22 trilion bagi dana kekayaan kedaulatan.

Pada 2025, sekitar AS$126 bilion modal dilaburkan oleh pelabur milik pemerintah, mencatat paras tertinggi dan meningkat 46 peratus berbanding 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg